Penghantar makanan didenda RM4,000 cabul wanita di lampu isyarat

Tertuduh mengaku bersalah dan dikenakan denda RM4,000 kerana mencabul seorang wanita pada 20 April lalu.
Tertuduh mengaku bersalah dan dikenakan denda RM4,000 kerana mencabul seorang wanita pada 20 April lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang penghantar makanan mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencabul seorang wanita di Mahkamah Majistret Jenayah (1) di sini pada Rabu.

Sehubungan itu, Muhammad Falihin Abdul Talib, 28, dikenakan denda RM4,000 dan sekiranya gagal membayar, tertuduh boleh dikenakan penjara selama tiga bulan.

Hukuman itu dibuat Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab selepas pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nazri Abdul Rahim.

Tertuduh diwakili peguam, S Bommy.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan jenayah itu di Jalan Bukit Gambir, Gelugor pada jam 12.30 tengah hari, 20 April lalu.

Dia dituduh telah menggunakan kekerasan jenayah dengan cara meraba payudara seorang wanita warga Indonesia dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Oleh demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, Muhammad Falihin yang dilihat sugul meminta agar denda dikurangkan berikutan dia merupakan penanggung keluarga tunggal dengan pendapatan RM2,000 sebulan sebagai penghantar makanan.

Tertuduh turut menanggung seorang anak yang berusia setahun dan isterinya juga sedang hamil lima bulan.

Mengikut fakta kes, ketika mangsa yang sedang menunggang motosikal berhampiran lampu isyarat Jalan Bukit Gambir dari arah Sungai Nibong, dia didatangi seorang lelaki yang menaiki motosikal dari arah belakang lalu menghimpitnya di sebelah kanan.

Lelaki terbabit kemudiannya terus mencabulnya menyebabkan mangsa terkejut lalu memberhentikan motosikalnya.

Hasil laporan yang dibuat mangsa di Balai Polis Sungai Nibong, suspek berjaya ditahan di tepi Lorong Singgora pada jam 4.45 petang, 24 April lalu.