DBKL perlu tambah baik saliran longkang elak banjir kilat

Longgokan sampah akibat banjir kilat yang berlaku pada Isnin. Gambar kecil: Fahmi
Longgokan sampah akibat banjir kilat yang berlaku pada Isnin. Gambar kecil: Fahmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu sentiasa menilai, membersihkan dan menambah baik semua saliran dan longkang yang berdekatan dengan kolam takungan banjir bagi mengelakkan bencana itu berulang lagi.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, banjir kilat di Kuala Lumpur bukan pertama kali berlaku tetapi kerap kali berlaku sekiranya hujan lebat yang berterusan.

Menurutnya, DBKL perlu melakukan pemeriksaan terhadap tapak-tapak projek untuk semak keupayaan sistem perangkap kelodak (siltation) bagi mengelakkan tersumbat.

“Mereka perlu memastikan pemaju mengambil tanggungjawab sosial terhadap rumah-rumah dalam lingkungan 300 hingga 500 meter bergantung kepada kontur tanah.

“Contoh jika projek berada di tapak yang lebih tinggi, maka ia perlu bertanggungjawab terhadap rumah-rumah berhampiran yang berada pada paras lebih rendah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, hujan lebat sekitar Kuala Lumpur pada petang telah mengakibatkan banjir kilat di beberapa lokasi, antaranya Jalan Semantan, Jalan Parlimen dan Jalan Kuching.

Selain itu, banjir kilat turut berlaku di Jalan Changkat Thambi Dollah, Travers dan di sekitar kawasan berhampiran Menara DBKL.

Dalam pada itu, Fahmi turut mencadangkan supaya mewujudkan sistem amaran bencana dan kejadian banjir kilat berdasarkan lokaliti dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi.

“Ini supaya semua pengguna perkhidmatan telekomunikasi di satu lokaliti yang terkena banjir kilat, tanah runtuh dan bencana lain akan dapat amaran,” ujarnya.

Mengulas punca longgokan sampah akibat banjir kilat itu, Fahmi berkata, ia disebabkan sampah berkenaan hanyut akibat air banjir atau daripada saliran dan longkang di sekitar kawasan itu.

“Oleh itu, cara terbaik ialah untuk pastikan pihak berwajib mengambil tindakan awal memantau saliran bagi mengenal pasti longgokan dan halangan yang perlu dialihkan.

“Penduduk juga perlu memainkan peranan dengan memastikan kita semua jaga alam sekitar dan tidak membuang sampah merata-rata atau di dalam longkang begitu sahaja.

“Semua sampah akan tersangkut dan terkumpul di satu lokasi yang akhirnya mendatangkan kesusahan kepada kita semua,” jelas beliau.