Jostic untuk pembudayaan STI, pendigitalan bakal ditubuhkan

Tan Hong Pin
Tan Hong Pin
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Bagi memperkasakan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI), kerajaan negeri bakal menubuhkan Majlis Sains, Teknologi Negeri Johor (Jostic).

Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin berkata, Jostic merupakan satu pusat sehenti bagi pembudayaan STI dan pendigitalan di negeri.

Menurutnya, pusat berkenaan akan turut melibatkan kerajaan, institusi pendidikan, industri, usahawan dan komuniti.

"Ketika kerajaan BN mentadbir sebelum ini, tiada Exco tertentu untuk menjaga portfolio Sains dan Teknologi.

"Maka, walaupun beberapa projek telah dirancang, tetapi tiada agensi khusus untuk memantau pretasi program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) secara terperinci," katanya.

Hong Pin (PH-Skudai) berkata demikian ketika menjawab soalan Cheo Yee How (PH-Perling) tentang rancangan kerajaan negeri mempromosi dan membudayakan sains dan teknologi di Johor semasa persidangan Dewan Negeri Johor ke-14 di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, pelbagai program pembudayaan sains dan teknologi telah dijalankan oleh kerajaan negeri, sebelum ini.

"Ini termasuklah festival sains dan teknologi, latihan kepada lebih 1,000 guru Sains dan Matematik di seluruh negeri menggunakan modul Komuniti Pintar Sains yang dibangunkan oleh Universti Kebangsaan Malaysia dan sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan: