Kerajaan negeri diberi kelonggaran tambahan penggunaan dana

(dari kiri) Ismail Sabri ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dihadiri Menteri Besar serta wakil Ketua Menteri dari semua negeri pada Selasa.
(dari kiri) Ismail Sabri ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dihadiri Menteri Besar serta wakil Ketua Menteri dari semua negeri pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri diberi kelonggaran tambahan dalam penggunaan peruntukan di bawah Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) sebanyak RM5 bilion untuk tahun 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan tersebut bertujuan untuk membiayai kerja penyenggaraan, pembaikan, penggantian serta pengubahsuaian jalan, jambatan, longkang, pembentung dan cerun di jalan negeri yang rosak akibat banjir.

“Ini termasuklah di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Kerajaan Persekutuan amat prihatin ke atas situasi yang dihadapi oleh kerajaan negeri pasca banjir Monsun Timur Laut 2021/ 2022 yang lepas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dihadiri Menteri Besar serta wakil Ketua Menteri dari semua negeri pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan juga bersetuju untuk mengkaji semula Pemberian MARRIS supaya peruntukan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri terutama penyelenggaraan jalan seperti yang di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian.

“Justeru, kerajaan bersedia membuat pindaan garis panduan dan perundangan yang berkaitan untuk meluaskan skop penggunaan MARRIS,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri turut memaklumkan peruntukan pindahan fiskal ekologi ditingkatkan daripada RM70 juta kepada RM100 juta sebagai insentif khusus kepada negeri-negeri yang mewartakan kawasan baharu untuk dilindungi.

Menurutnya, insentif kewangan kepada kerajaan-kerajaan Negeri itu adalah bertujuan meningkatkan usaha pemeliharaan serta pemeliharaan kawasan biodiversiti daratan dan marin.

“Selain itu, kerajaan juga akan memberikan caruman sebanyak RM330 juta dalam Kumpulan Wang Rizab Negeri bagi membiayai pemberian berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP).

“Jawatankuasa turut ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi membuat semakan semula formula pengiraan, kriteria dan kaedah pengagihan bagi pemberian TAHAP. Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peluang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan keperluan negeri masing-masing.

"Langkah ini bagi memperkukuhkan lagi momentum pemulihan ekonomi Keluarga Malaysia," katanya.