Bayi enam bulan maut kemalangan

Lokasi kemalangan membabitkan tiga kenderaan yang berlaku di Kampung Air Sejuk, Setiu pada petang Isnin. FOTO: PDRM
Lokasi kemalangan membabitkan tiga kenderaan yang berlaku di Kampung Air Sejuk, Setiu pada petang Isnin. FOTO: PDRM
A
A
A

SETIU - Seorang bayi lelaki berusia enam bulan maut selepas kereta dinaiki bersama keluarga terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di sini pada petang Isnin.

Mohammad Qais Rizqi Shafiee dilaporkan meninggal dunia di Hospital Setiu manakala ibunya berusia 29 tahun patah paha kaki kiri dan kini dirawat di hospital.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kemalangan berlaku di Kilometer (KM) 75 Jalan Kuala Terengganu ke Kota Bharu di Kampung Air Sejuk pada jam 4 petang.

Menurutnya, nahas tersebut melibatkan tiga kenderaan iaitu kereta Proton Saga FLX, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser dan motosikal Honda Wave.

"Ketika kejadian, bapa mangsa yang memandu Proton Saga dalam perjalanan dari arah Rantau Panjang, Kelantan menuju ke Kuala Terengganu.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, Toyota Unser dipandu peniaga berusia 49 tahun yang datang dari arah Kuala Terengganu menuju ke Kota Bharu memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta itu.

"Kemudian datang motosikal ditunggang seorang suri rumah dari arah sama dengan Toyota Unser tidak sempat mengelak lalu bergesel dengan kereta," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa.

Afandi berkata, bapa bersama dua kakak mangsa yang berusia lima dan dua tahun tidak cedera.

"Semua mangsa terlibat dihantar ke hospital dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987," katanya.