UiTM kesal pelajar UM dikasari

Kekecohan berlaku di antara sekumpulan pelajar Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) dengan beberapa penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak ketika program santai bekas Perdana Menteri itu di Restoran Amjal, Jumaat lepas.
Kekecohan berlaku di antara sekumpulan pelajar Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) dengan beberapa penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak ketika program santai bekas Perdana Menteri itu di Restoran Amjal, Jumaat lepas.
A
A
A

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) dengan tegas mengecam dan amat kecewa dengan perkembangan seperti yang dilaporkan oleh pihak media di mana sekumpulan pelajar Universiti Malaya (UM) yang menzahirkan pandangan mereka secara aman dikasari baru-baru ini.

UiTM mendokong penuh hasrat dan usaha kerajaan dalam memberikan lebih ruang kebebasan kepada pelajar untuk bersuara berpandukan kepada perundangan negara.

Usaha ini sekiranya dilaksanakan dengan penuh berhemah dan bertanggungjawab akan dapat membangunkan keupayaan pelajar untuk turut terlibat dan berperanan sebagai rakyat yang bertanggungjawab dalam pembangunan negara secara amnya.

Inisiatif pihak kerajaan ini sewajarnya mendapat sokongan daripada semua pihak bagi memastikan golongan yang bakal menerajui negara pada masa hadapan dapat menimba pengalaman seawal mungkin.

Pada masa yang sama, UiTM menolak sebarang usaha untuk menyekat kebebasan tersebut terutamanya secara kekerasan.

Kekerasan bukan sahaja terkeluar dari norma masyarakat demokrasi dan bertentangan dengan nilai masyarakat Melayu Islam yang kaya dengan adab sopan, malahan ia juga bertentangan dengan perundangan negara.

Bagi UiTM, keganasan bukanlah cara penyelesaian terhadap perbezaan pendapat atau ideologi dan tidak mempunyai tempat di mana-mana kampus UiTM.

Kebebasan warga akademik dan pelajar untuk berdebat secara intelektual mengenai isu kepentingan umum merupakan proses pendidikan selagi ia tidak melanggar undang-undang negara Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, UiTM yakin bahawa aspirasi pendidikan tinggi ke arah melahirkan golongan intelek yang lebih matang dan terbuka, berani menyatakan buah fikiran serta memperjuangkan keadilan dan mempertahankan hak mereka akan dapat dicapai.

UiTM dengan tegas tidak bersetuju dan tidak akan menyokong penggunaan kekerasan sebagai jalan penyelesaian dan berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang sewajarnya melalui proses undang-undang supaya insiden seperti ini tidak akan berulang lagi pada masa hadapan.

PROF IR DR MOHD AZRAAI KASSIM

Naib Canselor UiTM

25 Mac 2019