India negara ketiga paling banyak berbelanja untuk ketenteraan

India membelanjakan AS$76.6 bilion untuk ketenteraan pada 2021. - Foto 123RF
India membelanjakan AS$76.6 bilion untuk ketenteraan pada 2021. - Foto 123RF
A
A
A

NEW DELHI - India negara ketiga terbesar di dunia berbelanja untuk ketenteraan, selepas Amerika Syarikat (AS) dan China, menurut badan pemerhati senjata antarabangsa.

Perbelanjaan ketenteraan India meningkat 0.9 peratus kepada AS$76.6 bilion pada 2021, menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) dalam satu laporan pada Isnin.

Bagi mengukuhkan industri senjata asli, 64 peratus daripada perbelanjaan modal dalam belanjawan tentera India 2021 diperuntukkan untuk membeli senjata buatan dalam negara.

Jumlah perbelanjaan ketenteraan global tahun lepas meningkat 0.7 peratus mencecah AS$2.1 trilion, dengan lima pembelanja teratas - AS, China, India, Britain dan Rusia, menyumbang 62 peratus daripada perbelanjaan.

"Meskipun di tengah kejatuhan ekonomi akibat pandemik Covid-19, perbelanjaan ketenteraan dunia mencecah paras rekod.

"Kadar pertumbuhan jangka sebenar bergerak perlahan disebabkan inflasi. Bagaimanapun, dari segi nominal, perbelanjaan ketenteraan meningkat sebanyak 6.1 peratus," kata penyelidik kanan SIPRI, Diego Lopes da Silva.

Tentera AS membelanjakan AS$801 bilion pada 2021, menunjukkan penurunan sebanyak 1.4 peratus berbanding 2020, manakala China meningkat 4.7 peratus kepada AS$293 bilion dan perbelanjaan ketenteraan Rusia meningkat 2.9 peratus kepada AS$65.9 bilion tahun lepas. - Bernama