Paip sedia 1,149 tangki statik kawasan berisiko gangguan bekalan air

Saiful Zaini (tiga dari kanan) beramah mesra bersama sebahagian pengamal media yang hadir pada majlis berbuka puasa pada Isnin.
Saiful Zaini (tiga dari kanan) beramah mesra bersama sebahagian pengamal media yang hadir pada majlis berbuka puasa pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) menyediakan 1,149 tangki statik, 27 lori tangki dan enam tangki jumbo di seluruh kawasan yang dijangka mengalami gangguan bekalan air semasa musim perayaan di negeri ini.

Sementara itu, bagi premis-premis kritikal seperti pusat dialisis, pusat jagaan warga emas dan hospital akan dibantu sekiranya ada permintaan

Ketua Pegawai Eksekutif Paip, Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, kesemua 73 Loji Rawatan Air (LRA) akan beroperasi secara maksima bagi memenuhi permintaan semasa musim perayaan yang dijangka meningkat sebanyak dua hingga tiga kali ganda berbanding biasa.

Menurutnya, petugas akan bekerja 24 jam mengikut jadual yang ditetapkan bagi menghadapi musim perayaan ini.

"Pihak Paip juga telah melaksanakan penyelenggaraan semua aset lebih awal sebagai langkah proaktif untuk menghadapi musim perayaan Aidilfitri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Media di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Turut hadir, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.

Saiful Zaini berkata, pelan tindakan yang diambil pihak Paip itu bagi memastikan kelangsungan bekalan air dan meringankan kesulitan dihadapi pengguna sekiranya berlaku masalah bekalan air semasa musim perayaan ini.

Beliau berkata, bagi melancarkan aduan pengguna, petugas tunggu sedia turut ditugaskan sehingga jam 12 tengah malam.

"Sebarang aduan dan pertanyaan, pengguna boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan (Pulapel) di talian 09-5739999.

"Pengguna juga dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah dan menyimpan bekalan air secukupnya sebagai persediaan di musim perayaan," katanya.