Sektor kesihatan sasaran utama serangan siber

Sektor kesihatan mencatatkan purata sebanyak 830 serangan siber setiap minggu bagi tempoh sepanjang 2021. (Gambar hiasan)
Sektor kesihatan mencatatkan purata sebanyak 830 serangan siber setiap minggu bagi tempoh sepanjang 2021. (Gambar hiasan)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sektor kesihatan mencatatkan purata sebanyak 830 serangan siber setiap minggu bagi tempoh sepanjang 2021, peningkatan sebanyak 71 peratus berbanding tahun sebelumnya, kata Laporan Keselamatan Check Point Software 2022.

Ini sekali gus menjadikan penjagaan kesihatan sebagai industri yang paling banyak disasarkan di dunia dan mengatasi sektor-sektor lain seperti utiliti, perbankan dan pembuatan.

Menurut laporan itu, sektor penjagaan kesihatan menjadi sasaran utama dan serangan berulang oleh penjenayah siber sejak bermulanya pandemik Covid-19 dengan hospital, kemudahan penyelidikan dan syarikat farmaseutikal menjadi tumpuan sasaran berikutan aspek nilainya yang tinggi serta ciri-ciri kerja yang ‘sensitif’ terhadap masa.

"Ketika sektor itu terus bereksperimen dengan penyelesaian internet pelbagai benda (IoT), daripada pengimbas biometrik sehingga automasi preskripsi bagi mesin pengimejan resonans magnet (MRI), kawasan serangan itu sebaliknya terus berleluasa dengan pantas berbanding keupayaan keselamatan untuk menanganinya,” katanya.

Laporan terbabit turut menyenaraikan faktor kewangan sebagai motivasi penjenayah atau pelaku yang menyasarkan sektor penjagaan kesihatan meliputi hospital, klinik, kemudahan penyelidikan selain pertubuhan kebajikan.

"Semakin penting kerja sektor itu, semakin teruja penjenayah untuk melakukan serangan siber. Sektor kesihatan misalnya sudah lama dilihat sebagai sasaran mudah bagi tujuan peras ugut, namun pandemik ini telah menjadikan kelemahan itu meningkat sehingga 10 kali ganda.

"Malah, kemungkinan atau potensi ia diceroboh juga berlipat ganda saban tahun. Sehubungan itu, pihak hospital dan kemudahan penjagaan kesihatan lain perlu memikirkan kaedah bagi meminimumkan potensi serangan dan mengurangkan risiko itu,” katanya.

Berikutan itu, laporan tersebut mencadangkan supaya pihak hospital serta kemudahan dalam persekitaran penjagaan kesihatan untuk sentiasa berwaspada atau peka terhadap setiap peranti serta penggunaan sambungan terbabit.

"Mereka juga boleh meletakkan mekanisme pengesanan risiko di setiap peranti atau kategori peranti sebelum menetapkan dasar yang memaparkan tahap risiko tersebut,” katanya.

Menurutnya, sebarang usaha pelaburan dalam penyelesaian pemantauan dan pengesanan yang proaktif, akan turut membolehkan pihak klinik, hospital dan kemudahan penyelidikan mengawasi sebarang peningkatan serangan, sekali gus memastikan keadaan lebih selamat bagi tahun ini serta di masa-masa akan datang. - Bernama