166 ditahan, kompaun RM166,000 langgar SOP di pusat hiburan

Seramai 166 pengunjung dan penjaga premis dikompaun kerana melanggar SOP di sebuah premis hiburan di Taman Ekoflora, Setia Indah, Johor Bahru pada malam Ahad.
Seramai 166 pengunjung dan penjaga premis dikompaun kerana melanggar SOP di sebuah premis hiburan di Taman Ekoflora, Setia Indah, Johor Bahru pada malam Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan 166 pengunjung termasuk pekerja sebuah premis hiburan di Taman Ekoflora, Setia Indah di sini pada malam Ahad kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mereka yang berusia antara 20 hingga 45 itu ditahan kerana melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) semasa dalam fasa peralihan ke endemik.

"Dalam operasi itu yang bermula jam 11.30 malam, turut ditahan seorang lelaki kerana bertindak menghalang penjawat awam melakukan tugas.

"Tindakan kompaun berjumlah RM166,000 telah dikenakan terhadap kesemua mereka di bawah Peraturan (17) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Shahurinain berkata, individu yang ditahan pula diambil tindakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

"Polis Johor mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi kesemua SOP ditetapkan kerajaan dalam tempoh PPN ketika ini.

"Pada masa ini, tiada sebarang pengumuman berhubung kebenaran diberikan kepada pusat hiburan untuk kembali beroperasi, mana-mana pihak yang ingkar akan dikenakan tindakan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap orang awam yang mempunyai maklumat berhubung sebarang salah laku boleh menghubungi bilik gerakan Polis Kontinjen Johor menerusi talian 07-2254074.