Covid-19: 4,006 kes baharu, 10,223 sembuh

KKM merekodkan 4,006 kes baharu Covid-19 pada Ahad. - Gambar hiasan
KKM merekodkan 4,006 kes baharu Covid-19 pada Ahad. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 4,006 kes baharu Covid-19 pada Ahad, menurun berbanding pada Sabtu dengan 5,624 kes yang menjadikan jumlah kumulatif adalah sebanyak 4,431,073.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut ia melibatkan 3,999 kes tempatan dan tujuh kes import.

“Bagi pecahan daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,288 kes atau 32.15 peratus adalah daripada pesakit Covid-19 kategori satu, sementara 2,694 kes adalah pesakit kategori dua dengan 67.25 peratus.

“Bagi kategori tiga, terdapat 12 kes (0.30 peratus), manakala kategori empat dan lima dengan enam kes (0.15 peratus),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan jumlah keseluruhan 24 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima, lapan kes dilaporkan tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan.

“Sembilan kes pula sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi tidak menerima dos penggalak. Sebanyak tujuh kes pula sudah menerima dos penggalak.

“Selain itu, sembilan kes melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas, 12 kes lagi mempunyai komorbid,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, hanya satu kluster baharu direkodkan pada Ahad menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif sebanyak 97 kes.

“Ini menjadikan jumlah kluster sebanyak 7,004 kluster dan 6,907 telah tamat,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, sebanyak 98 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 50 daripadanya disahkan Covid-19, manakala kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan pula adalah sebanyak 48.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, bagi kes memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 61 kes dilaporkan dengan 34 kes disahkan Covid-19 dan 27 lagi kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan negara merekodkan sebanyak 10,223 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif kepada 4,320,822 kes setakat ini.