Suhaili jemput ahli gabungan, bersekutu PSM sertai MSC

Suhaili (tiga dari kiri) menerima sijil keahlian Istaf daripada Abdul Halim Kader di Singapura.
Suhaili (tiga dari kiri) menerima sijil keahlian Istaf daripada Abdul Halim Kader di Singapura.
A
A
A

PRESIDEN Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC), Datuk Suhaili Abdul Rahman meminta supaya ahli-ahli gabungan dan bersekutu yang bernaung di bawah Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) supaya menerima jemputan untuk bersama badan induk baharu itu yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Menurut Suhaili, jemputan itu ditujukan kepada 10 negeri dan wilayah persekutuan yang masih menganggotai PSM serta empat ahli bersekutu mereka demi mengembalikan Malaysia sebagai kuasa utama sepak takraw dunia dan merampas semula pingat emas Sukan Asia, September ini.

“Saya mengalu-alukan persatuan-persatuan sepak takraw dan majlis-majlis sukan yang masih bernaung di bawah PSM supaya menyertai MSC memandangkan PSM sudah tidak mempunyai mandat sebagai pentadbir urus dan pengelola sukan sepak takraw di Malaysia lagi.

“MSC pula telah diluluskan pendaftarannya oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan pada 10 Februari lalu malah secara rasmi menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) pada 5 Mac dan 4 April lalu.

“Yang paling akan rugi ialah sukan sepak takraw dan Malaysia sekiranya PSM terus mempolitikan isu keahlian mereka yang sudah terbatal (akibat penyingkiran Astaf dan Istaf pada 20 Mei 2021 dan 23 Mac lalu),” katanya.

Untuk rekod, negeri-negeri yang masih menganggotai PSM ialah Perak, Pahang, Johor, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur, Kelantan, Sabah dan Pulau Pinang manakala Angkatan Tentera, polis, bomba dan penjara merupakan ahli bersekutu mereka.

Enam persatuan yang membentuk MSC pula ialah Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan (PSWPL), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak) dan Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) serta Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSNS).

Dalam pada itu Suhaili berkata, pihaknya telah menerima sijil keahlian ISTAF yang diserahkan oleh Setiausaha Agungnya yang juga Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader di Singapura pada Jumaat lalu sempena majlis undian sepak takraw Sukan SEA Hanoi Ke-31, 2022 pada 12 hingga 23 Mei ini.

“Dengan pengiktirafan terbaharu Istaf ini malah sebagai satu-satunya badan induk pentadbir urus sukan sepak takraw di Malaysia, sudah tiada sebab untuk Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak menerima permohonan MSC menjadi ahli gabungannya,” kata Suhaili, juga Presiden PSWPL.