Tok Gajah tampil semangat juang tinggi cetus kemenangan

Antara aksi Sri Pahang menentang Penang dalam saingan Liga Super di Kuantan.
Antara aksi Sri Pahang menentang Penang dalam saingan Liga Super di Kuantan.
A
A
A

FAKTOR kejayaan skuad Sri Pahang FC meraih kemenangan sulung 3-1 ketika melayan kunjungan Penang FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan adalah disebabkan kesungguhan dan semangat juang tinggi para pemain untuk menampilkan persembahan terbaik.

Pengendali Sri Pahang, Christophe Gamel berkata, para pemain Tok Gajah berupaya menterjemahkan perancangan semasa latihan kepada perlawanan dengan penuh disiplin kerana mereka amat fokus untuk membawa pulang tiga mata berharga.

“Malam ini merupakan kejayaan pemain yang sudah berusaha keras dan mempunyai mentaliti tinggi untuk menyampaikan apa yang saya harapkan di padang.

“Secara keseluruhan, pemain beraksi lebih baik berbanding tiga perlawanan sebelum ini walaupun masih ada beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki seperti penyudah kurang tajam, tempo permainan tidak memuaskan dan kecuaian melepaskan gol,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Darul Makmur pada Sabtu.

Perlawanan itu menyaksikan Sri Pahang FC mencipta gol pertama pada minit ke-28 menerusi Nor Azam Azih sebelum Penang FC menyamakan kedudukan melalui jaringan Sukri Ab Hamid pada minit ke-46.

Dua gol tuan rumah kemudiannya dihasilkan David Rowley pada minit ke-64 dan Sean Gianelli pada minit ke-73'. - Bernama