TMJ gesa atasi masalah graduan menganggur

Tunku Ismail (tengah) menerima mengadap Dr Noraini Ahmad, Abdul Razak dan Dr Husaini Omar di Royal Johor Polo Club, Johor Bahru, pada Ahad.
Tunku Ismail (tengah) menerima mengadap Dr Noraini Ahmad, Abdul Razak dan Dr Husaini Omar di Royal Johor Polo Club, Johor Bahru, pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa masalah lambakan graduan menganggur dan bayaran gaji rendah yang diberikan kepada mereka diatasi kerana sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya.

Tunku Ismail berkata, keadaan itu menunjukkan kebolehpasaran mereka yang rendah dan ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran kemahiran yang dimiliki.

"Isu ini bukan sahaja kesan daripada pandemik Covid-19, tetapi masalah sistemik yang telah wujud selama bertahun-tahun.

"Pada masa ini bilangan pelajar universiti yang menamatkan pengajian melebihi bilangan peluang pekerjaan yang ada. Jika kita tidak menangani isu ini dengan segera, populasi belia yang 'berpendidikan tetapi menganggur' akan bertambah," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi pada Ahad.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan selepas Tunku Ismail menerima mengadap Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar di Royal Johor Polo Club di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Tunku Ismail berkata, Noraini memberi jaminan bahawa kementeriannya sedang meneliti isu-isu tersebut pada waktu ini.

Dalam pada itu, Tunku Ismail berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dua tahun lalu menyebabkan gangguan besar kepada penuntut universiti dan pensyarah kerana peralihan mendadak kepada pembelajaran dalam talian.

Katanya, isu-isu seperti akses terhad kepada peranti pintar dan sambungan internet yang lemah menyebabkan ramai penuntut terjejas dan membawa kepada motivasi diri yang rendah.

"Pembahagian antara pelajar universiti yang berkemampuan dan yang kurang berkemampuan begitu ketara dalam tempoh dua tahun yang lalu, di mana pelajar berkemampuan berada di hadapan dalam memperoleh pendidikan yang berharga," kata Tunku Ismail.

Selepas pandemik kata Tunku Mahkota Johor, apabila kembali kepada pengajaran berasaskan fizikal, universiti dan pendidik mesti mengingati bahawa impak pembelajaran dalam talian selama dua tahun itu adalah berbeza bagi mereka yang berkemampuan berbanding mereka yang kurang berkemampuan.

Tunku Ismail menggesa supaya usaha mesti dilakukan untuk menampung perbezaan itu dan memastikan pelajar yang kurang berkemampuan tidak ketinggalan.

Selain itu, Tunku Mahkota Johor mencadangkan agar Persatuan Mahasiswa Anak Johor diwujudkan semula di semua universiti tempatan yang akan menjadi platform pelajar-pelajar Johor menjalankan pelbagai aktiviti dan program sambil berkongsi idea serta pendapat.

"Persatuan-persatuan ini akan menjadi sebahagian daripada Gabungan Mahasiswa Anak Johor (GAJ) yang lebih besar. Aktiviti-aktiviti dan acara baharu juga akan dianjurkan di bawah GAJ seperti kejohanan bola sepak antara universiti," katanya.