Aidilfitri: Melaka peruntuk RM15 juta untuk lebih 7,000 fakir miskin

Sulaiman (kiri) menyampaikan sumbangan kepada golongan fakir dan miskin pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2022 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka pada Ahad.
Sulaiman (kiri) menyampaikan sumbangan kepada golongan fakir dan miskin pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2022 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka pada Ahad.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kerajaan negeri Melaka menerusi pelbagai agensi dan jabatan memperuntukkan sumbangan kira-kira RM15 juta kepada lebih 7,000 asnaf dan fakir miskin dalam bentuk wang tunai serta barangan makanan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, sumbangan itu bertujuan membantu meringankan beban kewangan golongan berkenaan dalam membuat persiapan hari raya, sekali gus memastikan mereka dapat meraikannya dalam suasana gembira.

"Sumbangan Aidilfitri ini sama seperti sumbangan yang disalurkan pada perayaan lain seperti Krismas, Tahun Baharu Cina dan Deepavali. Ia membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

"Antara agensi dan jabatan yang terlibat menyalurkan bantuan ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka serta Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), dan sumbangan berkenaan akan disampaikan secara berperingkat sebelum hari raya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2022 JKM Melaka di sini, pada Ahad.

Pada majlis yang turut dihadiri Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Nordin dan Pengarah JKM Melaka Burhanuddin Bachik itu, seramai 310 orang daripada Parlimen Masjid Tanah menerima sumbangan.

Berhubung sumbangan hari raya daripada JKM Melaka, Sulaiman berkata, kerajaan negeri juga bersetuju menambah bilangan penerima kepada 1,740 orang berbanding 1,400 orang pada tahun lepas, melibatkan peruntukan RM384,000. - Bernama

Artikel Berkaitan: