Polis Kedah lupus 1,773 mesin bitcoin, peralatan

Wan Hassan (tengah) menunjukkan antara peralatan dan mesin bitcoin yang dirampas dalam Ops Letrik bersama TNB sehingga April 2022.
Wan Hassan (tengah) menunjukkan antara peralatan dan mesin bitcoin yang dirampas dalam Ops Letrik bersama TNB sehingga April 2022.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah melupuskan 1,773 mesin bitcoin dan puluhan peralatan yang dirampas dalam Ops Letrik bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) sehingga April 2022.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, mesin bitcoin dengan peralatan yang dilupuskan itu merupakan hasil daripada 38 serbuan yang dilakukan di sekitar daerah Kota Setar.

Menurutnya, serbuan dilakukan di 21 lokasi sekitar daerah ini selepas premis terbabit dikesan melakukan kesalahan kecurian elektrik, pengacauan (tampering) meter elektrik atau sambungan elektrik serta kerosakan kepada meter, alat atau pepasangan dan talian bekalan elektrik.

"Antara barangan rampasan yang akan dilupuskan termasuklah 1,773 unit mesin 'mining' bitcoin, 14 unit modem dan 37 unit desktop.

"Selain itu, 14 unit router, tiga unit komputer riba, tujuh set komputer, dua 'casting' mesin 'mining' bitcoin dan dua unit kamera litar tertutup (CCTV) yang dirampas juga akan dilupuskan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Wan Hassan berkata, pelupusan mesin 'mining' bitcoin bersama peralatan bagi 21 kertas siasatan dibuat setelah inkuiri di bawah Seksyen 407 Kanun Prosedur Jenayah diluluskan oleh Mahkamah Majistret Alor Setar.

Katanya, permohonan inkuiri di bawah Seksyen 407 Kanun Prosedur Jenayah tersebut dibuat di Mahkamah Majistret Alor Setar bermula September 2021 sehingga April 2022.

Beliau menjelaskan, tindakan susulan di bawah Seksyen 38 Akta Bekalan Elektrik 1990 / Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 1990 dalam tindakan TNB.