Maritim tahan dua bot nelayan Vietnam

Bot nelayan Vietnam yang ditahan Maritim Malaysia menerusi Op Khas Pagar Laut dan Op Khas Kuda Laut pada Jumaat.
Bot nelayan Vietnam yang ditahan Maritim Malaysia menerusi Op Khas Pagar Laut dan Op Khas Kuda Laut pada Jumaat.
A
A
A

MERSING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing menahan dua buah bot nelayan asing Vietnam bersama 21 kru di kedudukan 62 batu nautika timur laut dari Kuala Mersing pada Jumaat.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, kedua-dua bot itu ditahan oleh aset Maritim Malaysia dalam satu rondaan operasi penguatkuasaan bersepadu Op Khas Pagar Laut dan Op Khas Kuda Laut sekitar jam 10 pagi.

"Hasil pemeriksaan mendapati 21 kru termasuk tekong kedua-dua bot, warga Vietnam berumur di antara 16 hingga 62 tahun gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah.

"Hasil tangkapan dianggarkan 6,000 kilogram (kg), bekalan diesel lebih kurang 5,500 liter dan dua bot berserta peralatan menangkap ikan dirampas. Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2 juta," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Anggota Maritim Malaysia melakukan pemeriksaan ke atas bot nelayan Vietnam yang ditahan menerusi Op Khas Pagar Laut dan Op Khas Kuda Laut pada Jumaat.
Anggota Maritim Malaysia melakukan pemeriksaan ke atas bot nelayan Vietnam yang ditahan menerusi Op Khas Pagar Laut dan Op Khas Kuda Laut pada Jumaat.

Khairul Nizam berkata, kesemua kru bot berkenaan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia.

Beliau berkata, kes terbabit turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Maritim Malaysia mengingatkan seluruh komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang dan sekiranya gagal tindakan sewajarnya akan dikenakan.

"Sebarang aduan jenayah segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Johor di talian 07-219 9404," katanya.