200 paket makanan halal buat mangsa serangan Christchurch

Keshree Naidoo-Rauf dan ayah mentuanya, Mohammed Rauf mengambil inisiatif menghantar 200 paket makanan halal siap dimasak kepada mangsa dan ahli keluarga serangan masjid Christchurch. - Foto STUFF.CO.NZ
Keshree Naidoo-Rauf dan ayah mentuanya, Mohammed Rauf mengambil inisiatif menghantar 200 paket makanan halal siap dimasak kepada mangsa dan ahli keluarga serangan masjid Christchurch. - Foto STUFF.CO.NZ
A
A
A

HAMILTON - NEW ZEALAND. Apabila seorang penduduk bandar Hamilton di New Zealand, Keshree Naidoo-Rauf mendengar berita bekalan makanan halal diperlukan di Christchurch, wanita tersebut tidak menunggu lama untuk menghulurkan bantuan.

Keshree dibantu ayah mentuanya, Mohammed Rauf yang berpengalaman dalam dunia katering, mengambil inisiatif untuk menghantar 200 paket makanan halal siap dimasak kepada mangsa dan ahli keluarga yang terbabit dalam serangan pengganas pada 15 Mac lalu.

Beliau yang juga ahli Rangkaian Perniagaan Rototuna berkata, inisiatif membekalkan makanan halal tersebut juga merupakan salah satu cara untuk menyatukan komuniti setempat.

"Rangkaian Perniagaan Rototuna turut membiayai kos membeli bahan masakan, pembungkusan dan juga tiket kapal terbang bagi penghantaran makanan tersebut ke Christchurch," kata Keshree sambil menambah 200 paket sajian 'chicken pilau' akan dihantar esok.

Keshree turut berharap agar inisiatif terbabit dapat dicontohi organisasi lain di seluruh New Zealand dan sekaligus meringankan beban yang ditanggung keluarga mangsa.

Sementara itu, Mohammed berkata, dia merasa berbesar hati dapat membantu mangsa dan ahli keluarga serangan masjid Christchurch yang ketika ini memerlukan sokongan daripada semua pihak. - STUFF.CO.NZ

Artikel Berkaitan: