Wanita, tunang ditahan kes tipu jual beli kucing 'online'

Suspek wanita (kiri) dan tunang ditahan selepas terlibat dalam penipuan jual beli kucing di Facebook.
Suspek wanita (kiri) dan tunang ditahan selepas terlibat dalam penipuan jual beli kucing di Facebook.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang wanita ditahan polis bersama tunangnya selepas dikesan terbabit dalam kes penipuan jual beli kucing melalui laman Facebook melibatkan kerugian sehingga RM11,000.

Suspek wanita berusia 26 tahun terbabit ditahan di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah manakala suspek lelaki berusia 36 tahun ditahan keesokan harinya di Jalan Tuaran Bypass.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sabah, Superintendan Moses Govindarajoo berkata, siasatan mendapati suspek wanita merupakan pemilik akaun bank dan mengaku bahawa dia telah memberikan kad pengeluaran wang automatik (ATM) miliknya kepada tunangnya.

"Tangkapan susulan segera dilakukan dan hasil risikan mendapati suspek merupakan orang tengah kepada sindiket penipuan yang mana suspek menggunakan akaun bank milik tunangnya untuk menerima wang kegiatan penipuan sebelum dipindahkan ke beberapa akaun luar negara.

"Suspek juga mengaku bekerjasama dengan sindiket luar negara untuk menjalankan aktiviti jenayah penipuan dengan menjadi perantara pindahan wang hasil daripada jenayah itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Moses berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Moses dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi kad ATM, maklumat perbankan dan lain-lain maklumat peribadi sehingga terjebak dengan jenayah penipuan secara tidak langsung.