Dua suspek kes curi, pecah cermin kereta di Petaling Jaya ditahan

Antara barangan yang dirampas daripada dua suspek di sebuah kediaman di Jalan Ampang pada 8 April lalu. (Gambar kecil: Mohamad Fakhrudin)
Antara barangan yang dirampas daripada dua suspek di sebuah kediaman di Jalan Ampang pada 8 April lalu. (Gambar kecil: Mohamad Fakhrudin)
A
A
A

PETALING JAYA - Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita kerana disyaki terlibat dalam tujuh kes pecah cermin kereta dan curi di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menahan dua suspek berusia 30 dan 47 tahun itu di Jinjang Kuala Lumpur pada jam 11 malam, 8 April lalu.

"Hasil soal siasat terhadap suspek, kita telah pergi ke sebuah kediaman di Jalan Ampang serta merampas pelbagai mata wang asing, barangan kemas dan peralatan pecah rumah.

"Kita turut merampas pelbagai barangan elektronik, empat utas jam tangan, 24 beg tangan pelbagai jenama dan satu unit 'pendrive'," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Fakhrudin berkata, tangkapan itu adalah susulan laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa cermin kenderaan miliknya dipecahkan oleh penjenayah di kawasan tempat letak kereta di Sungai Way di sini pada 2 April lalu.

"Mangsa mendapati cermin di bahagian penumpang belakang sebelah kanan telah dipecahkan.

"Hasil pemeriksaan dalam kenderaan, mangsa mendapati dua buah komputer riba dan satu buah tablet miliknya telah hilang," katanya.

Beliau berkata, hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati hanya suspek lelaki mempunyai 14 rekod jenayah dan satu rekod penyalahgunaan dadah.

"Suspek masih dalam tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca). Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," ujarnya.