Maut terkena renjatan pagar elektrik kebun sawit

Seorang lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah kebun sawit di Kampung Chatel, Lata Rek, Kuala Krai pada Jumaat. - Foto ihsan pembaca
Seorang lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah kebun sawit di Kampung Chatel, Lata Rek, Kuala Krai pada Jumaat. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

KUALA KRAI - Seorang lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah kebun sawit di Kampung Chatel, Lata Rek di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, dalam kejadian jam 7 pagi itu mangsa, Rohafizi Ismail, 36, dari Kampung Jelkis telah ditemui tidak sedarkan diri di kebun sawit tersebut.

"Kejadian itu disedari oleh seorang lelaki dikenali sebagai Limi yang telah menjumpai mangsa di tempat kejadian.

"Limi kemudian membuat panggilan untuk memaklumkan kepada ahli keluarga mangsa iaitu adiknya, Abdul Halim Ismail, 22, berkenaan kejadian tersebut," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurutnya, Rohafizi dipercayai terkena renjatan elektrik daripada pagar elektrik yang dipasang di kebun sawit tersebut.

Katanya, pada jam 12.28 tengah hari, anggota dari Balai Polis Laloh dan pegawai perubatan Kesihatan Manek Urai telah dikerahkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata, pemeriksaan oleh pegawai perubatan di lokasi mendapati mangsa telah meninggal dunia.

Suzaimi berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan punca kematian adalah disebabkan oleh consistent with electrocution.