Singapura tamatkan kebanyakan sekatan Covid-19

Singapura memudahkan syarat kemasukan bagi pengembara bermula 26 April ini. - AFP
Singapura memudahkan syarat kemasukan bagi pengembara bermula 26 April ini. - AFP
A
A
A

SINGAPURA - Singapura menghapuskan kebanyakan sekatan Covid-19 yang masih ada mulai 26 April dan memudahkan syarat kemasukan bagi pengembara, sebagai tindak balas kepada penurunan jangkitan harian.

Langkah tersebut termasuk menamatkan had perhimpunan awam dan membenarkan semua pekerja kembali ke tempat kerja, sekali gus menyaksikan hab kewangan Asia Tenggara itu menurunkan tahap amaran Covid-19 buat kali pertama sejak wabak bermula.

Pada 7 Februari 2020, Singapura menaikkan Sistem Tindak Balas Wabak Penyakit (DORSCON) kepada Jingga (tahap risiko tinggi) selepas republik itu merekodkan lonjakan kes Covid-19.

Namun, Singapura akan menukar tahap DORSCON kepada Kuning mulai 26 April memandangkan jangkitan Covid-19 tempatan semakin pulih.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan (MOH) juga mengumumkan penghapusan syarat bagi pengembara yang diberi vaksin untuk mengambil ujian Covid-19 sebelum berlepas ke Singapura.

"Dengan perubahan ini, kita kini boleh menarik nafas lega selepas dua tahun yang sangat sukar untuk memerangi virus itu.

"Perlu diingat, kita semakin hampir ke garisan penamat, tetapi perlumbaan belum berakhir dan wabak pastinya belum berakhir," kata Menteri Kewangan, Lawrene Wong yang juga pengerusi bersama pasukan petugas Covid-19 kerajaan.

Tambahnya, walaupun kebanyakan sekatan dimansuh, beberapa peraturan akan dikekalkan seperti pemakaian mandatori pelitup muka di kawasan awam tertutup dan pengangkutan awam.

"Pun begitu, kebanyakan sekatan akan kekal untuk individu yang tidak divaksinasi," katanya.

Singapura telah memvaksin 93 peratus daripada 5.5 juta penduduknya, salah satu daripada kadar tertinggi di dunia.

Ia juga telah mencapai salah satu daripada kadar kematian Covid-19 yang terendah.

Singapura ketika ini merekodkan sebanyak 1.17 kes positif termasuk 1,322 kematian. - Agensi