PH sedia kerjasama jika tiada kekuatan tewaskan BN pada PRU15

Saifuddin (tengah) bersama-sama ahli dan kepimpinan PKR negeri semasa mengadakan sidang akhbar di sebuah hotel di Johor Bahru pada Jumaat.
Saifuddin (tengah) bersama-sama ahli dan kepimpinan PKR negeri semasa mengadakan sidang akhbar di sebuah hotel di Johor Bahru pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) menimbang untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain sekiranya gabungan itu benar-benar merasakan tidak mampu menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, itu merupakan satu daripada enam ketetapan yang dipersetujui kepimpinan PH ketika mengadakan 'retreat' di Port Dickson, tahun lalu.

"Reaksi setiap pimpinan itu berbeza (berhubung kerjasama khemah besar), tetapi saya berpegang kepada ketetapan keputusan resolusi temu rapat dahulu, hendak kata apa sekalipun kita masih berpandu kepada apa yang disepakati dahulu.

"Jadi pendekatan itu adalah PH sedia berbincang dengan semua pihak. Semua pihak itu pula boleh jadi sesiapa sahaja, berbincang dengan semua.

"Kita 'register' dahulu untuk sedia ambil pendekatan terbuka dan berbincang, itu adalah satu kenyataan yang 'open ended' dan itu adalah ayat asal dalam resolusi berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Grand Paragon, di sini pada Jumaat.

Beliau mengulas pendiriannya berhubung kemungkinan kerjasama antara PH dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas menerusi inisiatif khemah besar bagi menghadapi PRU15.

Beberapa kepimpinan parti komponen PH sebelum ini dilihat berbeza pendapat berhubung penglibatan Pas dan Bersatu dalam konsep khemah besar yang dipelopori mereka.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dilaporkan enggan melibatkan kedua-dua parti berkenaan manakala Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa perbincangan diadakan dengan kedua-dua parti itu.

Sementara itu, ditanya tentang keyakinan dan kekuatan PH menjelang PRU15 yang dijangka diadakan pada akhir tahun ini, Saifuddin berkata, perkara tersebut adalah sangat dinamik.

"Itu dinamik, buat masa sekarang kita fokus untuk mengukuhkan PH, tetapi pada masa sama kita juga baca isyarat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

"Usaha pengukuhan ini boleh dibuat melalui beberapa kaedah antaranya mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan lebih kerap, memperbaiki kelemahan satu sama lain dan menggerunkan jentera pilihan raya bersama-sama," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, terma pengkhianat bagi pihaknya tidak menjurus kepada Bersatu secara keseluruhan sebaliknya hanya kepada individu yang meninggalkan PKR dan menyertai parti berkenaan.

"Terma pengkhianat itu merujuk kepada beberapa individu antaranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin," jelasnya.