'Khemah besar PH' bukan untuk Pas, Bersatu

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan bahawa pendekatan khemah besar yang dicadangkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada dalam kerajaan sama ada UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, khemah besar yang dimaksudkan adalah soal penyatuan dan kerjasama parti-parti pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Tidak mungkin Pakatan Harapan (PH) akan bekerjasama dengan pengkhianat yang jelas telah mengkhianati amanah dan mandat rakyat.

“Perlu ditegaskan bahawa golongan pengkhianat adalah mereka yang telah melompat untuk bersama Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) atas sebab tawaran-tawaran yang dibuat pada ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohamad menambah, adalah tidak wajar untuk menyamakan kumpulan yang telah melompat parti dan yang tidak melompat.

“Sepertimana tidak wajar kita anggap Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai parti pengkhianat atas sebab timbalan presidennya dan belasan ahli Parlimennya melompat parti, begitu juga adalah tidak wajar kita menamakan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai pengkhianat atas sebab pengkhianatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu.

“Sebagai parti politik yang ingin menunaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat dengan mengusahakan kemenangan dalam PRU15, persoalan menyatukan pembangkang adalah amat perlu,” katanya.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Kota Raja berkata, Amanah akan berusaha memperbanyakkan kawan demi menghadapi lawan yang sama iaitu Barisan Nasional (BN) dan PN.

Artikel Berkaitan:

“Bagi yang membuat keputusan bahawa PRU15 tidak akan dimenangi, usaha sebegini sememangnya tidak perlu. Usaha untuk kalah adalah jauh lebih mudah dari berjuang untuk menang,” ujarnya.