Radzi ucap selamat bertugas kepada guru interim BI dilantik tetap

Mohd Radzi berkongsi di hantaran Facebook beliau kad ucapan penghargaan daripada kumpulan guru interim Bahasa Inggeris tahun 2019 yang dilantik ke jawatan tetap.
Mohd Radzi berkongsi di hantaran Facebook beliau kad ucapan penghargaan daripada kumpulan guru interim Bahasa Inggeris tahun 2019 yang dilantik ke jawatan tetap.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada kumpulan guru interim Bahasa Inggeris (BI) tahun 2019 yang telah mendapat tawaran pelantikan sebagai guru tetap Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41.

Mohd Radzi melalui perkongsian di Facebook rasminya memaklumkan perkara tersebut selepas menerima kiriman kad ucapan penghargaan daripada kumpulan guru terbabit.

“Terima kasih atas kiriman kad ucapan penghargaan daripada kumpulan guru interim Bahasa Inggeris tahun 2019 yang baru saya terima semalam.

“Syabas dan tahniah kepada guru-guru interim ini yang telah menerima tawaran pelantikan sebagai guru tetap PPP Gred DG41 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

“Pastinya lantikan ini akan dapat menampung kekurangan guru Bahasa Inggeris di sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Jumaat.

Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa KPM segera menyelesaikan isu situasi guru interim BI ambilan 2019 yang dilaporkan tamat kontrak pada 21 April ini.

Pada 9 Mac, KPM memaklumkan guru interim BI lantikan 22 April 2019 yang tamat tempoh kontrak pada 21 April depan akan diserap lantikan tetap sekiranya memenuhi syarat Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) serta lulus temu duga.

Dalam pada itu, Mohd Radzi turut berterima kasih kepada pihak SPP yang sentiasa memberi kerjasama kepada KPM dalam urusan pelantikan guru.

“Saya ucapkan selamat maju jaya dan selamat bertugas kepada guru-guru ini. Jadilah guru yang terbaik dalam mencorak masa depan anak-anak generasi pewaris negara,” ujarnya.