Polis gempur kampung nelayan jadi tumpuan tokan dadah

Ayob Khan (tengah) bercakap pada sidang media Operasi Tapis Khas di Bukit Aman pada Jumaat. - Foto Bernama
Ayob Khan (tengah) bercakap pada sidang media Operasi Tapis Khas di Bukit Aman pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menggempur 113 penempatan jeti haram, perkampungan nelayan dan 169 kawasan aktif dadah di seluruh negara dalam Op Tapis Khas Siri 3 dalam tempoh 18 hingga 20 April lepas.

Sepanjang operasi itu, seramai 3,724 individu terdiri daripada tokan, penagih dadah dan orang yang dikehendaki ditahan merangkumi 3,574 lelaki dan 150 wanita berumur lingkungan 13 hingga 70 tahun yang disyaki terlibat dalam pelbagai kesalahan kes dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Op Tapis Khas Siri 3 itu memfokuskan jeti-jeti serta perkampungan nelayan di seluruh negara yang dipercayai dijadikan tempat mengedar dadah oleh tokan-tokan dadah.

"Kami lihat dari segi kecenderungan, memang ada kegiatan yang tinggi di kawasan nelayan dan jeti-jeti yang terlibat,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, enam daripada yang ditahan itu adalah pelajar berumur 14 hingga 22 tahun iaitu empat masih bersekolah dan dua penuntut institusi pengajian tinggi manakala tujuh remaja berumur 13 tahun yang ditahan terdiri daripada mereka yang telah berhenti sekolah.

Selain itu, lapan penjawat awam dengan empat daripada mereka daripada agensi penguat kuasa turut ditahan kerana positif dadah jenis syabu, amphetamine serta memiliki air ketum.

Ayob Khan menunjukkan gambar-gambar Operasi Tapis Khas ketika mengadakan sidang media di Bukit Aman pada Jumaat. - Foto Bernama
Ayob Khan menunjukkan gambar-gambar Operasi Tapis Khas ketika mengadakan sidang media di Bukit Aman pada Jumaat. - Foto Bernama

Ayob Khan berkata, PDRM tidak bertolak ansur dengan mana-mana individu yang terlibat dengan kegiatan melibatkan dadah termasuk penjawat awam tidak kira sama ada daripada agensi penguatkuasaan mahupun jabatan-jabatan lain dalam kerajaan.

Polis turut merampas 811.38 kilogram (kg) dan 542.37 liter pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM1.01 juta, antaranya daun ketum seberat 769.49kg, syabu (22.96kg), heroin (6.24kg), serbuk ekstasi (6.11kg), ganja (4.92kg), air ketum (526.71 liter) dan kodein (14.06 liter).

Ayob Khan berkata, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai RM2.90 juta.

Beliau berkata, antara barang-barang yang disita dan dirampas ialah rumah banglo bernilai RM2.3 juta, 38 kenderaan pelbagai jenis bernilai RM452,000, barangan kemas bernilai RM32,308, wang tunai dalam empat akaun bank RM49,909 dan wang tunai RM29,096. - Bernama