KPPK sasar selesai tuduhan CBP AS, EU enam bulan pertama tahun ini

Zuraida
Zuraida
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyasarkan untuk menyelesaikan tuduhan tidak berasas Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) dan Kesatuan Eropah (EU) berkaitan buruh paksa dan minyak sawit, termasuk mengadakan pertemuan dengan pihak terbabit dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menterinya Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, KPPK telah meminta untuk mengadakan pertemuan dengan CBP AS pada bulan Ramadan ini namun masih belum mendapat sebarang maklum balas.

"Terdapat dua perkara yang harus kita selesaikan dalam masa enam bulan ini iaitu untuk bertemu dengan CBP AS dan EU. Pertemuan dengan EU pula melibatkan sesi perbicaraan dan pendengaran pada 8-18 Mei ini.

"Pertemuan dengan CBP AS dan EU ini adalah bagi menjawab tuduhan mereka selain memberi penjelasan kepada mereka mengenai tafsiran terma mereka yang berlainan dengan kita.

"Apabila ada libat urus ini kita boleh beri penjelasan untuk mereka faham bahawa terma itu berbeza selain dapat mengurangkan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas (terhadap minyak sawit termasuk penggunaan buruh paksa),” katanya pada sidang media di pejabat beliau di sini pada Jumaat.

Mengulas isu Sime Darby Plantation Bhd (SDP) dan syarikat konfeksionari utama Itali, Ferrero, beliau menegaskan bahawa tuduhan berkaitan buruh paksa itu bukan dibuat oleh pihak Ferrero.

"Itu bukan tuduhan Ferrero tapi yang dibuat oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat. Ini tidak benar kerana SDP memang tidak membekalkan minyak berunsurkan sawit ini kepada Ferrero,” katanya.

Terdahulu, SDP berkata, Ferrero, yang dilaporkan merancang untuk menghentikan sumber minyak sawit daripada syarikat itu, bukan pelanggan SDP dan begitu juga dengan General Mills dan The Hershey Company yang disebut dalam laporan agensi berita Reuters baru-baru ini.

Dalam pada itu, KPPK memaklumkan nilai eksport komoditi meningkat sebanyak lima peratus kepada RM31.61 bilion pada Jan-Feb 2022 berbanding RM30.01 billion dalam tempoh sama tahun lepas.

Jumlah eksport tersebut merangkumi masing-masing sawit sebanyak RM19.48 bilion, getah (RM6.79 bilion), kayu-kayan (RM4.13 bilion), koko (RM1.15 bilion), lada (RM0.03 bilion) dan tembakau (RM0.03 bilion).

"Peningkatan itu turut didorong oleh kekangan untuk mendapatkan minyak bunga matahari dari Ukraine and Rusia selain produktiviti yang turut memacu kenaikan pasaran kelapa sawit,” katanya.

Menurut KPPK, faktor penyumbang kenaikan harga sawit adalah kuantiti pengeluaran yang meningkat sebanyak 20 peratus kepada 3.85 juta tan bagi tempoh Jan-Feb 2022 daripada 3.2 juta tan bagi tempoh sama pada 2021.

Selain itu, KPPK akan menganjurkan acara Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) pada 26-28 Julai ini di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), yang turut menjadi antara platform bagi memperkasa sektor agrikomoditi negara.

Acara itu merangkumi persidangan, pameran, perbincangan meja bulat, mesyuarat perniagaan B2B dan malam penyampaian anugerah.

MIACES juga bertujuan menghimpunkan kalangan penggiat industri, pengeluar, pelabur dan pihak berkepentingan lain bagi mengetengahkan produk masing-masing, peralatan dan teknologi terkini di bawah satu bumbung. - Bernama