Pelik, pemuda letup mesin penapis air wakaf dengan mercun

A
A
A

REMBAU - Tidak pasti motif seorang pemuda dipercayai meletupkan sebuah mesin penapis air percuma yang diletakkan di hadapan sebuah rumah di Kampung Masjid Tanah di Chembong dengan mercun.

Pemiliknya, Mohd Khairul Azman Mustakim, 34, berkata, akibat perbuatan itu mesin penapis air yang selama ini digunakan oleh penduduk kampung rosak.

"Saya menyedari kejadian ini selepas melihat serpihan pintu plastik mesin tersebut bertaburan di atas jalan kira-kira jam 9.30 pagi, pada Khamis. Saya ingatkan mesin tersebut dilanggar orang, tapi bila tengok kamera litar tertutup (CCTV), ada lelaki berusia mungkin belasan tahun letak mercun dan letupkannya.

"Saya tidak tahu apa motif dia tetapi rasanya dia sengaja buat vandalisme kerana selepas itu dia melarikan diri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Jumaat.

Menurut Mohd Khairul Azman, wajah pemuda itu jelas dirakam oleh CCTV dan dia diberi tempoh sehingga petang Jumaat untuk tampil menyerah diri berhubung perbuatan itu.

Tegas lelaki itu, dia mempertimbangkan untuk tidak membuat laporan polis jika pemuda tersebut tampil mengaku kesalahannya.

"Mesin ini bukannya ada duit dan saya letakkan ia di situ sejak lebih setahun lalu dengan niat untuk wakaf kepada orang kampung.

"Bukan sahaja orang kampung, orang luar juga ada datang ambil air di sini dan sekarang ia sudah rosak," katanya.

Mohd Khairul Azman berkata, kejadian itu pertama kali berlaku dan mesin itu dibeli dengan harga RM2,800.

Sementara itu, rakaman CCTV kejadian tersebut turut dikongsi Mohd Khairul Azman di Facebooknya dan kini tular di aplikasi TikTok.