United turun bertemu Arsenal tanpa kelibat Pogba

Pogba
Pogba
A
A
A
MANCHESTER United dijangka turun menentang Arsenal di Stadium Emirates pada Sabtu tanpa kelibat pemain tengahnya, Paul Pogba yang mengalami kecederaan betis ketika menentang Liverpool tempoh hari.

Perkara tersebut disahkan pengendali sementara United, Ralf Rangnick sambil memberitahu kecederaan yang dialami pemain antarabangsa Perancis itu mengambil masa yang lama untuk pulih.

Begitupun, Rangnick berharap ketiadaan Pogba itu tidak akan memberi kesan dalam misi mereka untuk memburu kedudukan empat terbaik pada penghujung musim ini.

“Dia mengalami kecederaan di bahagian betisnya. Ia mungkin mengambil masa yang agak lama untuk sembuh.

“Saya jangkakan Pogba berkemungkinan bukan sahaja tidak dapat turun menentang Arsenal mungkin juga bertemu Chelsea di Old Trafford.

“Saya berharap ketiadaan Pogba tidak akan menjejaskan persembahan pasukan yang kini sedang memburu kedudukan empat yang terbaik,” katanya.

Ketiadaan Pogba itu nyata memberi kesan kepada The Red Devils selepas beberapa pemain tengahnya sebelum ini turut mengalami kecederaan yang menyaksikan United terpaksa menggunakan khidmat pemain mudanya, Hannibal Mejbri ketika menentang Liverpool di Anfield.

Bagaimanapun difahamkan, Rangnick berkemungkinan bakal menggunakan khidmat Scott Mctominay bagi mengemudi bahagian tengah pasukan ketika bertemu Arsenal meskipun pemain itu masih belum cergas sepenuhnya susulan baharu pulih daripada kecederaan.