Gangguan bekalan air di empat daerah di Terengganu

Satu melaksanakan agihan bekalan air secara berjadual di beberapa kawasan di empat daerah iaitu Marang, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu. - Gambar hiasan
Satu melaksanakan agihan bekalan air secara berjadual di beberapa kawasan di empat daerah iaitu Marang, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) melaksanakan agihan bekalan air secara berjadual di beberapa kawasan di empat daerah iaitu Marang, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu bagi meminimumkan gangguan bekalan kepada pengguna terlibat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ts Abdul Karim Endut berkata, tindakan itu terpaksa dilakukan kerana penggunaan air yang meningkat secara mendadak pada Ramadan kali ini dan dijangka berterusan sehingga Aidilfitri nanti.

"Bagi memastikan bekalan air sentiasa ada pada waktu siang, Satu telah menutup bekalan antara 12 tengah malam hingga 4.30 pagi kerana kebiasaannya waktu sebegini penggunaan air sangat kurang.

"Ia bagi memastikan paras air di tangki dapat dipenuhkan pada waktu malam seterusnya melancarkan agihan sepanjang waktu siang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Terengganu Incorporated Sdn Bhd di sini, malam tadi.

Selain itu, Satu juga telah mengenal pasti 86 lokasi sesuai untuk meletakkan tangki statik sebagai alternatif bekalan air tambahan kepada pengguna yang tinggal di kawasan sering terjejas gangguan bekalan air.

"Air di tangki-tangki ini akan sentiasa ada untuk kegunaan penduduk terjejas. Kita juga akan menggerakkan enam lori tangki ke kawasan terlibat gangguan bekalan air agar orang ramai dapat meneruskan aktiviti musim perayaan dengan lancar," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan orang ramai agar memuat turun aplikasi MySATU secara percuma menerusi platform iOS dan Android untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung perkhidmatan air di Terengganu.

"Aplikasi ini akan menyampaikan maklumat dengan lebih pantas dan tepat kepada pengguna termasuk mengenai gangguan bekalan air, ia dapat membantu pengguna lebih bersedia untuk mengambil air di tangki statik berdekatan," katanya. - Bernama