Peruntukan RM9.93 juta bantu pesawah terjejas banjir

MAFI memperuntukkan RM9.93 juta bagi membantu 6,887 pesawah di seluruh kawasan MADA, yang terjejas banjir serta kejadian padi rebah pada September dan November lepas. - Gambar hiasan
MAFI memperuntukkan RM9.93 juta bagi membantu 6,887 pesawah di seluruh kawasan MADA, yang terjejas banjir serta kejadian padi rebah pada September dan November lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan RM9.93 juta bagi membantu 6,887 pesawah di seluruh kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), yang terjejas banjir serta kejadian padi rebah pada September dan November lepas.

MADA dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, peruntukan sebanyak RM1.3 juta menerusi Bantuan Wang Ihsan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) itu, diberikan kepada 956 pesawah di kawasan MADA negeri Perlis pada awal April lepas.

"Pemberian baki RM8.63 juta lagi disempurnakan hari ini oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, bagi membantu 5,931 pesawah di kawasan MADA negeri Kedah,” menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, tabung bencana tanaman itu diwujudkan MAFI sebagai bantuan khas kepada penanam padi yang menghadapi bencana luar jangka seperti serangan wabak, bencana alam dan faktor lain yang tidak dapat dielakkan.

Kenyataan itu memaklumkan banjir disebabkan hujan lebat yang berlaku pada September lepas dan kejadian ribut pada November di seluruh kawasan MADA, telah menyebabkan aliran air menjadi tinggi hingga mengakibatkan tanaman padi rebah.

Sementara itu, menurut kenyataan itu lagi pesawah disaran mematuhi jadual penanaman padi yang dikeluarkan oleh MADA, bagi mengurangkan risiko dilanda banjir.

"Mereka turut dinasihatkan untuk menyelesaikan aktiviti menabur sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri, bagi mengelakkan kelewatan kemudahan pengurusan bekalan pengairan untuk pertanian.

"Pesawah juga diminta mengoptimumkan penggunaan air hujan di kawasan bendang untuk aktiviti penanaman padi, selain penggunaan Benih Padi Sah (BPS),” menurut kenyataan itu. - Bernama