Zakat Pulau Pinang agih sagu hati raya RM5.7 juta untuk asnaf

Ahmad Zakiyuddin (tengah) menyerahkan replika cek sagu hati Aidilfitri kepada wakil jawatankuasa kariah Masjid Ibadul Rahman sempena Majlis Penyerahan Saguhati Hari Raya 2022, pada Khamis.
Ahmad Zakiyuddin (tengah) menyerahkan replika cek sagu hati Aidilfitri kepada wakil jawatankuasa kariah Masjid Ibadul Rahman sempena Majlis Penyerahan Saguhati Hari Raya 2022, pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Zakat Pulau Pinang (ZPP) mengagihkan kira-kira RM5.7 juta wang zakat kepada asnaf fakir dan miskin sebagai sagu hati menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, program tahunan ZPP itu melibatkan seramai 9,366 orang fakir dan miskin yang dikenal pasti oleh seluruh kariah masjid di negeri tersebut.

"Dalam pelaksanaan agihan dana zakat, asnaf fakir dan miskin adalah dua dhu’afa yang berbeza tetapi statusnya hampir sama.

"Kedua-dua golongan dhu’afa ini tidak mampu menguruskan kehidupan harian kerana ekonomi mereka lemah. Oleh itu, mereka berhak mendapat agihan zakat bagi keperluan hidup sehingga kembali menjadi seorang yang kaya dan dapat mengurus serta menghasilkan pendapatan daripada hartanya," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Saguhati Hari Raya 2022 di Masjid Ibadul Rahman, pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 berkata, selain meringankan beban hidup bantuan yang diberikan diharap dapat menceriakan sambutan Aidilfitri yang akan diraikan tidak lama lagi.

"Diharapkan dengan bantuan yang disalurkan digunakan sebaik mungkin untuk menampung kos kehidupan seharian dan meningkatkan ketaatan kepada Allah serta tali persaudaraan yang erat sesama Muslim selaras dengan hikmah ibadat zakat khususnya zakat fitrah yang diwajibkan ke atas semua umat Islam di bulan Ramadan ini," katanya.

Sementara itu, Amran berkata, jumlah peruntukan bagi sagu hati hari raya tahun ini meningkat sebanyak RM1.43 juta berbanding tahun 2021.

Artikel Berkaitan:

Katanya, amaun sagu hati yang diterima oleh seorang asnaf juga meningkat iaitu bagi fakir miskin akan menerima RM700 berbanding pada tahun 2021 sebanyak RM500.

Bagi asnaf miskin pula menerima sebanyak RM600 berbanding pada tahun 2021 hanya menerima RM450.

"Peningkatan jumlah diterima oleh asnaf ini adalah berdasarkan peruntukan telah diluluskan yang merujuk kepada anggaran kutipan zakat fitrah pada tahun ini iaitu RM6.5 juta yang disasarkan kutipannya.

"Kesemua saguhati ini akan disalurkan kepada asnaf menerusi kerjasama dengan pihak kariah masjid yang berperanan sebagai pihak mengenal pasti asnaf dan ia telah mula diagihkan secara berperingkat mulai pada 18 April lalu," katanya.