Malaysia anjur 'Taste of Malaysia’ usaha tembusi pasaran Thailand

Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia.
Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia.
A
A
A

KEDUTAAN Malaysia di Bangkok kini giat mempromosikan produk Malaysia menerusi kempen ‘Taste of Malaysia’ dan menyasar untuk menembusi pasaran Thailand.

Menerusi kerjasama pihak kedutaan melalui Pejabat Penasihat Pertanian, serta gedung runcit Lee Wiwat Store di Songkhla dan Wang Mart Co sebagai pengedar, kempen promosi dalam pasar raya itu mengetengahkan pelbagai produk Malaysia termasuk makanan sejuk beku, snek dan minuman mulai 16 hingga 24 April.

Duta Malaysia di Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata, Lee Wiwat Store merupakan platform dan peluang yang baik untuk produk Malaysia menembusi pasaran Thailand memandangkan ia mempunyai 12 cawangan di Songkhla, samping mengukuhkan lagi perdagangan sempadan antara Malaysia dan Thailand.

"Kita merancang untuk memperkenalkan lebih banyak produk Malaysia di Thailand.

"Bagaimanapun, kebolehterimaan pengguna merupakan antara cabaran utama. Syarikat perlulah yang sudah lama bertapak dan mantap untuk memperoleh penerimaan pengguna. Justeru, untuk menembusi pasaran di sini, usaha itu mengambil masa yang panjang,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta Pejabat Penasihat Pertanian di Bangkok giat melakukan pelbagai kempen untuk menembusi pasaran Thailand.

Susulan kelonggaran sekatan Covid-19 bagi acara fizikal, lebih banyak program promosi produk makanan Malaysia akan diadakan tahun ini untuk memastikan jenama Malaysia kekal relevan dan mencatatkan permintaan tinggi dalam pasaran Thailand.

Sementara itu, Kaunselor di Pejabat Penasihat Pertanian di Bangkok, Hairuddin Maslan berkata, setakat ini terdapat 30 unit penyimpanan stok (SKU) tersenarai di Lee Wiwat Store.

"Pejabat Penasihat Pertanian Bangkok akan bekerjasama dengan agensi-agensi di bawah MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) seperti FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) serta agensi lain seperti MATRADE bagi mengenal pasti produk usahawan Malaysia yang berpotensi untuk dipasarkan di Lee Wiwat Store ke arah mencapai sasaran 50 SKU bagi 2022,” katanya.

Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di dunia dan kedua terbesar di ASEAN dengan nilai RM98 bilion pada 2021.

Aktiviti ekonomi di kawasan sempadan menyumbang 50 peratus kepada jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand.

Semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Thailand baru-baru ini, kedua-dua negara menyatakan komitmen bagi mengukuhkan kerjasama perdagangan antara Malaysia dan Thailand untuk merekodkan AS$30 bilion menjelang 2025.- Bernama