Sri Lanka semakin bergolak

Penunjuk perasaan memegang kad sepanduk yang menggesa Presiden Gotabaya Rajapaksa meletak jawatan. - AFP
Penunjuk perasaan memegang kad sepanduk yang menggesa Presiden Gotabaya Rajapaksa meletak jawatan. - AFP
A
A
A

COLOMBO - Polis telah mengenakan perintah berkurung di tengah Sri Lanka, sehari selepas seorang penunjuk perasaan antikerajaan dilaporkan terbunuh sehingga mencetuskan kecaman masyarakat antarabangsa.

Malah, kerajaan menjanjikan penyiasatan terhadap dakwaan bahawa polis menggunakan kekerasan untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang menentang kenaikan harga bahan api dan menuntut Presiden Gotaya Rajapaksa meletakkan jawatan berikutan krisis ekonomi yang semakin teruk.

"Saya telah memulakan siasatan ke atas tingkah laku anggota polis di Rambukkana," kata Ketua Polis Chandana Wickramaratne dalam satu kenyataan sambil mengenakan perintah berkurung tanpa had di kawasan itu.

Menurut kenyataan polis, sekumpulan penunjuk perasaan membakar lori diesel ketika anggota polis melepaskan tembakan untuk menyuraikan mereka di Rambukkana yang terletak 95 kilometer (km) dari timur Colombo.

Sekurang-kurangnya 29 orang termasuk 11 anggota polis telah cedera dalam pertempuran pertama sejak protes antikerajaan tercetus bulan ini.

Sementara itu, Rajapaksa menyatakan bahawa rakyat mempunyai hak untuk mengadakan bantahan, namun perlu mengelak daripada melakukan keganasan.

Sri Lanka dilaporkan mengadakan rundingan awal dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mendapatkan bantuan kewangan segera bagi menangani krisis ekonomi. - Agensi