Perak FC terima talian hayat

No Image Caption
A
A
A

[DIKEMAS KINI] BADAN bebas 'First Instance Body' (FIB) meluluskan permohonan Perak FC untuk melanjutkan masa bagi memberi ruang kepada pihak pengurusan kelab Liga Premier itu menyelesaikan rundingan pertukaran pemilikan.

Pengerusi FIB Perlesenan Kelab Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, kebenaran diberikan selepas meneliti dan memperhalusi permohonan Perak FC pada 18 April lalu, sekali gus memberi ruang untuk pengurusan kelab Liga Premier itu menyelesaikan segala proses rundingan bersama pemilik baharu sehingga 29 April 2022.

“Pihak Jawatankuasa FIB membuat keputusan untuk memberikan ruang masa kepada Perak FC kerana kami berharap dengan penyelesaian proses rundingan berkenaan akan dapat memberi satu sinar baharu kepada kebajikan pemain dan pegawai Perak FC.

“Bagaimanapun sekiranya Perak FC masih gagal menyelesaikan urusan berkenaan pada tarikh yang ditetapkan, maka pihak Jawatankuasa FIB akan mengambil tindakan lanjut serta membawa perkara ini ke pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah MFL,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah memaklumkan, rundingan bagi penjualan The Bos Gaurus kepada JR Resources and Services Sdn Bhd (JR) kini berjalan lancar selepas resolusi daripada Impact Media and Communication (IMC) bagi penjualan kelab itu ditandatangani.

Menurutnya, pada masa sama, semua Ahli Lembaga Pengarah Perak FC juga telah menandatangani dokumen peletakan jawatan masing-masing.

"Pihak Pengurusan IMC telah bertemu dengan wakil JR malam semalam untuk meneruskan urusan penjualan Perak FC. Bagaimanapun, JR hanya diwakili peguam dan pembantu mereka, tanpa kehadiran pengarah syarikat tersebut.

"Oleh itu, kedua-dua pihak sepakat untuk bertemu pada minggu hadapan bagi melengkapkan proses menandatangani perjanjian pengambil alihan Perak FC,” katanya.

Sebelum ini, pada 16 April lalu, IMC dalam satu kenyataan bersetuju untuk menjual Perak FC kepada JR sekali gus menjadi pemilik baharu pasukan.

Persetujuan itu menyaksikan IMC menjual keseluruhan pegangan mereka pada harga RM1 sesaham, memberikan subsidiari itu nilai keseluruhan RM2,500.