Ali Hamsa tokoh disegani, dihormati sewaktu berkhidmat: PM

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa sebagai seorang tokoh pentadbiran perkhidmatan awam yang amat disegani dan dihormati sewaktu berkhidmat.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Ismail Sabri berkata, pemergian bekas Ketua Setiausaha Negara itu satu kehilangan besar buat negara.

“Allahyarham merupakan Ketua Setiausaha Negara dari 2012 hingga 2018 dan seorang tokoh pentadbir Perkhidmatan Awam yang amat disegani serta dihormati sewaktu dalam perkhidmatan.

“Allahyarham menabur jasa dan bakti sepanjang perkhidmatannya dan pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh dan ditempatkan bersama para solihin,” katanya pada Khamis.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan itu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali pada Khamis memaklumkan Ali Hamsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospitla Dublin, Ireland.