Bekas KSN Ali Hamsa meninggal dunia

Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa
Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa disahkan meninggal dunia pada usia 66 tahun di Hospital Dublin, Ireland pada Khamis.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Datuk Seri Mohd Zuki Ali mengesahkan perkara itu menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pagi tadi.

Beliau menyifatkan pemergian Allahyarham di bulan Ramadan yang mulia ini merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan perkhidmatan awam.

“Allahyarham telah menabur bakti di pelbagai kementerian dan jabatan antaranya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Pengangkutan; Unit Perancang Ekonomi Institut Tadbiran Awam Negara (Intan); Jabatan Perkhidmatan Awam dan Unit Kerjasama Awam Swasta serta Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Mewakili seluruh warga Perkhidmatan Awam Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tan Sri Dr Ali Hamsa yang telah kembali ke rahmatullah pada hari ini.

“Semoga ALLAH SWT merahmati dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman, Al-Fatihah,” katanya.

Allahyarham Ali Hamsa memegang jawatan sebagai KSN yang ke-13 berkuat kuasa mulai 24 Jun 2012 sehingga 28 Ogos 2018 menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang tamat kontrak perkhidmatan pada 23 Jun 2012.

Dilahirkan pada 29 Ogos 1958 di Kluang, Johor, Allahyarham pernah bertugas di Unit Perancang Ekonomi, JPM bermula 1997 hingga 2009 dan menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Ekonomi Wilayah sejak 2003.

Allahyarham juga pernah dipilih sebagai Ikon Membaca Kebangsaan pada 21 September 2014.