Sotong RM5 sekilogram diserbu pelanggan

Sauffian (kiri) melayani pelanggan yang berkunjung ke gerainya yang beroperasi di simpang kebun, Kampung Tualang, Manir di Kuala Terengganu.
Sauffian (kiri) melayani pelanggan yang berkunjung ke gerainya yang beroperasi di simpang kebun, Kampung Tualang, Manir di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Tawaran harga istimewa iaitu RM5 bagi satu kilogram sotong oleh seorang peniaga hasil laut di Kampung Tualang, Manir, disini mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan.

Sauffian Sauji, 35, berkata, bekalan yang diperoleh secara terus daripada bot nelayan membolehkan dia menjual sotong kecil yang berkualiti itu pada harga rendah.

Sotong segar yang dijual pada harga RM14 sekilogram.
Sotong segar yang dijual pada harga RM14 sekilogram.

"Saya jual sotong murah ini lebih kepada untuk meraikan pelanggan. Walaupun pulangan tidak seberapa, saya gembira apabila semua orang dapat merasai sotong pada harga murah.

"Jika dapat banyak bekalan sotong, kita akan memuat naik dilaman sosial Facebook untuk memaklumkan kepada pelanggan," katanya.

Jelasnya, sotong bersaiz kecil yang dijual digerainya sebelum Ramadan itu biasanya habis diserbu pelanggan sejak awal pagi.

Gerai Sauffian yang beroperasi bermula jam 8 pagi diserbu pelanggan sejak awal pagi.
Gerai Sauffian yang beroperasi bermula jam 8 pagi diserbu pelanggan sejak awal pagi.

"Jualan sotong harga RM5 mula dijual dua hari sebelum puasa. Waktu tu semua nelayan bot pukat tunda pulang ke darat untuk sambut 1 Ramadan di rumah.

"Apabila semua bot masuk, berlaku banyak lambakan sotong sebab hampir semua hasil tangkapan oleh bot berkenaan merupakan sotong bersaiz kecil," katanya.

Sauffian berkata, tawaran harga istimewa bagi jualan sotong akan diteruskan sehingga sebelum sambutan Aidilfitri.

Katanya, jualan sotong bersaiz kecil di gerainya mencecah 500 hingga 600 kilogram (kg) dengan purata 400 hingga 500 pelanggan diterima dalam tempoh sehari.

Sauffian menunjukkan sotong bersaiz besar yang dijual antara harga RM25 hingga RM40 sekilogram.
Sauffian menunjukkan sotong bersaiz besar yang dijual antara harga RM25 hingga RM40 sekilogram.

"Buat masa ini tawaran istimewa ini akan dilanjutkan sehingga sebelum Aidilfitri. Kita akan kekalkan harga rendah mengikut pasaran semasa," katanya.

Sauffian yang mula berniaga hasil laut sejak berusia 18 tahun berkata, terdapat pelbagai gred sotong yang dijual mengikut saiz dan kualiti iaitu gred A (RM40), gred B (RM38), C (RM35) D (RM25) dan saiz kecil (RM5 hingga RM10).

Katanya, selain sotong 70 peratus hasil laut lain seperti pelbagai jenis ikan, telur ikan dan udang turut dijual disitu.

Seorang pekerja di gerai Sauffian menyusun sotong yang dijual pada harga RM7 sekilogram.
Seorang pekerja di gerai Sauffian menyusun sotong yang dijual pada harga RM7 sekilogram.

"Harga hasil laut di gerai ini biasanya mengikut pasaran semasa. Kalau dapat dengan modal yang rendah, kami akan jual pada harga yang rendah. Harga sotong sentiasa turun naik. Jika berlaku lambakan sotong harga akan lebih murah.

"Biasanya harga sotong akan jatuh apabila banyak tangkapan sotong oleh kebanyakan bot termasuk hasil daripada mencandat," katanya.