Media perlu buka ruang untuk rakyat bersuara kesan negatif rasuah

Majlis Temu Mesra Rakan Gabungan #RasuahBusters bersama rakan sinergi media gerakan tersebut diadakan di Kompleks Karangkraf, di sini, pada Rabu.
Majlis Temu Mesra Rakan Gabungan #RasuahBusters bersama rakan sinergi media gerakan tersebut diadakan di Kompleks Karangkraf, di sini, pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Media di dalam negara perlu memberikan lebih ruang kepada laporan berita yang menyentuh mengenai kesan negatif amalan rasuah terhadap rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, masyarakat harus diberikan suara untuk berkongsikan impak dialami mereka ekoran daripada aktiviti rasuah yang berlaku di dalam negara.

“Media boleh mula membuka ruang untuk rakyat bersuara menyatakan kesan rasuah yang boleh berlaku daripada sektor pendidikan, kesihatan dan pengangkutan.

Nurhayati
Nurhayati

“Kesan yang dimaksudkan itu termasuk termasuk dari segi ekonomi contohnya seperti kenaikan harga barang yang membebankan. Itu amat berkait rapat dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang jika kita tidak banteras atau bendung ia akan menyebabkan kemiskinan kepada negara kita dan kesengsaraan kepada rakyat Malaysia secara khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas menghadiri Majlis Temu Mesra Rakan Gabungan #RasuahBusters bersama rakan sinergi media gerakan gabungan tersebut di Kompleks Karangkraf, di sini, pada Rabu.

Hadir sama ialah Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Kuik Cheng Kang; Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail; Pengarang Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa; Pengarang Sinar Daily, Tasnim Lokman dan ahli pasukan teras Rasuah Busters, Dr G Manimaran.

Dalam pada itu, Nurhayati berkata, Rasuah Busters akan meneruskan usaha bagi memastikan pelaksanaan enam tuntutan yang telah digariskan pada September lalu.

“Ini kerana buat masa ini hanya dua tuntutan yang telah diselesaikan atau diketengahkan iaitu pertama Undi18 dan satu lagi berkenaan Undang-Undang Anti Lompat Parti yang yang sedang dalam proses kami percaya dan diambil serius pihak kerajaan,” ujarnya.

Tuntutan lain turut diajukan Rasuah Busters yang terdiri daripada lebih 500 rakan gabungan adalah Pelaksanaan dan sokongan penuh ke atas Pelan Antirasuah Nasional (NACP), pelaksanaan Akta Pembiayaan Dana Politik dan kebebasan serta ketelusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

Dalam pada itu, turut dibincangkan pada majlis tersebut ialah mengenai keperluan untuk memperluaskan Rasuah Busters ke peringkat antarabangsa yang menurut Ashwad boleh terlebih dahulu dilakukan bersama dengan negara jiran di rantau Asia Tenggara.