Sila log masuk terlebih dahulu.

Maloney harap kelab Liga-M tunai janji

Brad Maloney
Brad Maloney
A
A
A

PENGENDALI skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Brad Maloney percaya anak buahnya akan melaporkan diri untuk latihan pusat Sukan SEA sebelum 1 Mei, seperti yang dijanjikan kelab-kelab sebelum ini.

Selepas hanya lima daripada 31 pemain yang dipanggil menyertai latihan pusat hadir pada Selasa, Maloney mengulangi keyakinannya lebih ramai pemain akan menyertainya secara berperingkat, sebelum perlawanan persahabatan dengan skuad B-23 Timur Leste (29 April dan skuad B-23 Filipina pada 1 Mei.

Jurulatih kelahiran Australia itu berkata walaupun ia bukanlah sesuatu yang baik untuk memulakan latihan pusat dengan jumlah pemain yang terhad, namun beliau perlu berhadapan dengan cabaran itu dan mengubah suai mengikut yang perlu, sehingga kelab-kelab Liga Malaysia (Liga-M) mula melepaskan pemain mereka sebelum berlepas ke Hanoi pada 4 Mei.

“Selepas senarai panggilan dikeluarkan, kami telah bercakap dengan kelab-kelab, para pemain, pengarah teknikal dan jurulatih, dan kami menerima jaminan bahawa semua pemain akan laporkan diri, jadi saya berharap perkara itu akan terjadi.

“Kami hormati keputusan kelab-kelab, tetapi ini tugas untuk pasukan negara. Saya tahu pemain bersemangat untuk mewakili negara, terutamanya Sukan SEA merupakan temasya terbesar Asia Tenggara, dan peminat Malaysia sedang menantikannya.

“Pada saya, kita perlu letakkan pemain yang terbaik untuk mewakili negara,” katanya pada sidang media Kontinjen Sukan SEA Malaysia di Majlis Sukan Negara pada Rabu.

Lima pemain yang melaporkan diri semalam adalah Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim, Muhammad Faiz Amer Runnizar, Muhammad Shafi Azswad Sapari dan Muhammad Haqimi Azim Rosli.

Selain dua pemain yang beraksi dalam liga di luar negara iaitu Luqman Hakim Shamsudin di Belgium dan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak di Jepun yang dijangka tiba minggu hadapan, pemain lain merupakan dalam kalangan pemain Liga-M.

Artikel Berkaitan:

Maloney juga menyatakan, cabaran yang mungkin dihadapi di Hanoi adalah daripada Thailand dan Vietnam yang membuat pelaburan besar, bermain dan berlatih di luar negara, manakala Liga Thai turut mengubah jadual mereka bagi memastikan kesemua pemain boleh bermain untuk pasukan Sukan SEA mereka.

“Untuk kami ia satu cabaran sukar, tetapi kami tidak takut. Saya amat percayakan pemain-pemain ini. Sebaik kami dapat kumpulkan kumpulan utama yang kami lihat, saya percaya kami boleh berjaya,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan pemain mengalami kecederaan ketika perlawanan Liga-M dalam tempoh beberapa hari sebelum menyertai pasukan, beliau tidak mahu pesimistik, tetapi berkata akan gembira jika pemain dapat bermain dalam perlawanan liga masing-masing dan bermain untuk tempoh penuh 90 minit.

Diundi dalam Kumpulan B, Malaysia akan berhadapan Thailand pada 7 Mei, sebelum bertemu Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di Stadium Thien Truong di Nam Dinh. Hanya dua pasukan terbaik kumpulan layak ke separuh akhir.

Malaysia, yang memenangi pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, gagal melepasi peringkat kumpulan pada edisi 2019 di Filipina.

Kali terakhir Malaysia memenangi ‘ibu segala pingat’ di temasya dwitahunan itu pada edisi 2011 di Indonesia, di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee.-