HIJRAH24 mampu lonjak semula perniagaan, pelaburan TH: PM

Ismail Sabri (kanan) menghadiri Majlis Pelancaran HIJRAH24 dan Berbuka Puasa di Menara Tabung Haji pada Rabu. Turut hadir Idris. - Foto Bernama
Ismail Sabri (kanan) menghadiri Majlis Pelancaran HIJRAH24 dan Berbuka Puasa di Menara Tabung Haji pada Rabu. Turut hadir Idris. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI]Pelan HIJRAH24 yang dilancarkan pada Rabu diyakini dapat melonjakkan semula aktiviti perniagaan serta pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi memastikan kesinambungan dan kecemerlangan TH berterusan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dimaklumkan pelan itu dibangunkan selari dengan nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia yang menerapkan pengkayaan nilai keterangkuman, kebersamaan serta kesyukuran.

Menurut Perdana Menteri, HIJRAH24 merupakan Pelan Transformasi Strategik TH 2022-2024 bagi memacu organisasi untuk tiga tahun ke hadapan, terutama dalam menempuh cabaran yang mendatang.

"Saya difahamkan pelan ini merangkumi 24 inisiatif strategik untuk mencapai aspirasi TH, dengan tumpuan kepada pengukuhan struktur tadbir urus korporat, operasi serta didorong oleh inisiatif digitalisasi,” katanya ketika melancarkan pelan HIJRAH24 di sini pada Rabu.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad; Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Menerusi HIJRAH24, TH menetapkan beberapa sasaran utama iaitu peningkatan saiz dana berjumlah RM100 bilion pada 2024, serta penambahan jumlah pendeposit meliputi lebih 50 peratus daripada penduduk Islam Malaysia.

Turut disasarkan adalah keuntungan boleh agih kepada pendeposit pada kadar melebihi 0.75 peratus daripada kadar pulangan Islamik, peningkatan pengguna THiJARI melebihi empat juta pengguna, Indeks Kepuasan Pelanggan melebihi 90 peratus dan Indeks Penglibatan Anggota melebihi 75 peratus.

"Tahniah saya ucapkan kepada Tabung Haji atas usaha gigih bagi memastikan institusi Islam yang menjadi ikon kebanggaan negara terus berdaya saing dan kekal relevan.

"Saya mendoakan agar HIJRAH24 ini dapat dikotakan pada akhir tempoh 2024 seperti yang dirancang. Syabas juga saya ucapkan kepada Tabung Haji kerana sentiasa bersedia melakukan transformasi untuk kekal dan berkesan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menaruh keyakinan terhadap Tabung Haji dan akan terus memberi sokongan atas usaha dan inisiatifnya demi kebaikan jemaah haji dan umat Islam.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, TH merupakan antara pengurus pelaburan patuh syariah berkumpulan terbesar di Malaysia dengan aset di bawah pengurusan bernilai RM87.3 bilion dengan deposit berjumlah RM86.5 bilion daripada 8.4 juta pendeposit.

Perdana Menteri berkata, sejak 1966 sehingga tahun lepas, TH telah mengagihkan sebanyak RM35.6 bilion keuntungan kepada pendepositnya.

"Dari tahun 2001 pula, TH telah memberi bantuan kewangan haji berjumlah RM2.02 bilion bagi meringankan beban kewangan jemaah Keluarga Malaysia,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Perdana Menteri turut meluangkan masa beramah mesra serta berbuka puasa bersama warga TH dan menyampaikan sumbangan kepada 30 anak-anak yatim daripada Darul Kifayah. - Bernama