TH sasar peningkatan dana kepada RM100 bilion melalui HIJRAH24

Lembaga Tabung Haji menyasarkan peningkatan saiz dana kepada RM100 bilion menjelang tahun 2024.
Lembaga Tabung Haji menyasarkan peningkatan saiz dana kepada RM100 bilion menjelang tahun 2024.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) menyasarkan peningkatan saiz dana kepada RM100 bilion menjelang tahun 2024 melalui pelaksanaan Pelan Transformasi Strategik TH 2022-2024 atau dikenali sebagai HIJRAH24.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sasaran utama pelan yang mempunyai 24 inisiatif strategik itu turut meliputi pertambahan jumlah pendeposit meliputi lebih 50 peratus daripada penduduk Islam di Malaysia.

“TH juga menetapkan sasaran utama untuk memastikan keuntungan boleh agih kepada pendeposit pada kadar melebihi 0.75 peratus daripada kadar pulangan Islamik.

“Selain itu, sasaran utama lain ialah peningkatan pengguna THiJARI melebihi empat juta pengguna, Indeks Kepuasan Pelanggan melebihi 90 peratus dan Indeks Penglibatan Anggota melebihi 75 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Pelan HIJRAH24 Lembaga Tabung Haji 2022-2024 di Menara Tun Razak di sini, pada Rabu.

Ismail Sabri berkata, sebagai pengurus pelaburan patuh syariah berkumpulan terbesar, TH kini memiliki aset di bawah pengurusannya bernilai RM87.3 bilion dengan deposit berjumlah RM86.5 bilion daripada 8.4 juta pendeposit.

Katanya, kerajaan menaruh keyakinan terhadap TH dan akan terus memberi sokongan atas usaha serta inisiatifnya khususnya demi kebaikan jemaah haji dan umat Islam.

“Saya juga yakin Tabung Haji telah mengenal pasti perkhidmatan yang boleh disesuaikan dengan norma baharu dan situasi terkini, selain berdaya tahan dan bersedia untuk menghadapi masa hadapan (future-proof).

“Pelan HIJRAH24 yang dirasmikan petang ini diyakini dapat melonjakkan semula aktiviti perniagaan serta pelaburan Tabung Haji bagi memastikan kesinambungan dan kecemerlangannya secara berterusan,” katanya.

Tambah Ismail Sabri, beliau turut dimaklumkan bahawa pelan tersebut turut diselarikan dengan nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia yang menerapkan pengkayaan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.