Anugerah Emas bukti komitmen kerajaan terhadap kelestarian alam: PM

Pavilion Malaysia merangkul Anugerah Emas sempena Anugerah Pavilion Ekspo 2020 Dubai. - Foto Facebook Ismail Sabri Yaakob
Pavilion Malaysia merangkul Anugerah Emas sempena Anugerah Pavilion Ekspo 2020 Dubai. - Foto Facebook Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kejayaan Pavilion Malaysia merangkul Anugerah Emas sempena Anugerah Pavilion Ekspo 2020 Dubai mencerminkan kejayaan negara menyampaikan komitmen terhadap kelestarian dengan mengekalkan biodiversiti di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, anugerah itu juga merupakan testimoni antarabangsa terhadap pengisian program-program di Pavilion Malaysia seiring dengan tema, konsep dan reka bentuk Pavilion yang bertemakan kanopi hutan hujan (rainforest canopy).

"Ini termasuk mengguna pakai pelbagai konsep semula jadi seperti air terjun, taman-taman menegak dan elemen-elemen semula jadi yang lain.

"Tahniah Pavilion Malaysia. Pada 30 Mac lepas Pavilion Malaysia telah merangkul Anugerah Emas bagi Tafsiran Tema di bawah kategori Pavilion

Kecil oleh Bureau International des Expositions (BIE)," kata Ismail Sabri menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau pada Rabu.

Membawa tema 'Energising Sustainability', Pavilion Malaysia menceritakan bagaimana kemajuan sosioekonomi boleh berlaku tanpa mengorbankan alam sekitar, dengan rakyat membina kemajuan ke arah masa depan yang lebih mampan. - Bernama