Yayasan Axiata peruntuk RM115 juta pelbagaikan inisiatif pendidikan

Mohamad Kamal ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Back To School Yayasan Axiata pada Rabu.
Mohamad Kamal ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Back To School Yayasan Axiata pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Axiata Group Berhad (Axiata) menerusi Yayasan Axiata memperuntukkan dana RM115 juta bagi tempoh 10 tahun akan datang untuk mempelbagaikan inisiatif di bawah Teras Ilmu (Education Pillar) dalam memastikan pendidikan berkualiti dapat diperolehi secara saksama dan inklusif.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Axiata, Mohamad Kamal Nawawi berkata, peruntukan dana tersebut juga akan terus membantu memupuk bakat muda melalui Program Axiata Young Talents (AYTP).

"RM115 juta adalah ikrar daripada Kumpulan Axiata kepada Yayasan Axiata selama 10 tahun yang menfokuskan pada teras ilmu dan ini kesinambungan daripada ikrar RM100 juta yang diberikan Axiata sebelum ini, iaitu pada tahun 2010 hingga 2020.

"Ahli Lembaga Axiata bersetuju untuk menyambung ikrar tersebut dan Alhamdulillah kami menerima ikrar RM115 juta untuk 10 tahun akan datang untuk teras ilmu sahaja," katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Back To School (BTS) Yayasan Axiata di sini, pada Rabu.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai program BTS, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, program itu adalah salah satu pendekatan holistik dalam menyediakan peluang kepada pelajar golongan berpendapatan rendah yang layak melanjutkan pelajaran mereka, meskipun berdepan kekangan kewangan.

Katanya, program dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu telah mengenal pasti 700 pelajar berprestasi tinggi dari 48 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara yang masing-masing menerima pakaian seragam dan kasut sekolah serta wang tunai RM100.

"Kesemua penerima program itu adalah pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dengan 60 peratus telah kehilangan ibu atau ayah atau kedua-duanya akibat Covid-19 atau atas sebab lain.

"Mereka akan berpeluang untuk terus disokong dan ditaja oleh Yayasan Axiata melalui program pembangunan kepimpinannya, AYTP, bimbingan mentor khusus oleh Sukarelawan AxiataCares dan berpeluang untuk menerima biasiswa bagi melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat tinggi bagi calon berkelayakan," ujarnya.

Wakil-wakil dari Yayasan Axiata, Mara, MRSM dan Muafakat bersama beberapa pelajar dari MRSM Sungai Besar dan MRSM Kuala Kubu Bharu yang menerima bantuan menerusi Program Back To School.
Wakil-wakil dari Yayasan Axiata, Mara, MRSM dan Muafakat bersama beberapa pelajar dari MRSM Sungai Besar dan MRSM Kuala Kubu Bharu yang menerima bantuan menerusi Program Back To School.

Jelas beliau, misi Yayasan Axiata untuk memastikan pendidikan berkualiti dapat diperolehi secara saksama dan inklusif oleh semua pelajar melalui Dana Ekuiti dalam Pendidikan.

"Program BTS merupakan satu titik permulaan antara pelbagai inisiatif yang diperuntukkan di bawah dana ini. Kami percaya bahawa pengagihan bantuan dan sokongan harus dilakukan melalui pendekatan holistik, tersusun serta mampan, dan inilah sebenarnya misi Yayasan Axiata.

"Kepentingan pelajar menjadi teras inisiatif kami dan menjadi harapan saya agar kami dapat mencapai matlamat tersebut melalui program BTS ini seperti mana program-program Yayasan Axiata yang terdahulu," katanya.

Selain wakil Mara, MRSM dan Muafakat (Persatuan Ibu Bapa dan Guru bagi Kolej MRSM), seramai 19 penerima bantuan dari MRSM Sungai Besar dan MRSM Kuala Kubu Bharu turut hadir menyaksikan majlis perasmian itu dan menerima kit BTS mereka dalam majlis tersebut.