ADUN Perak didakwa ambil dadah

Terence Naidu
Terence Naidu
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, VR Terence Naidu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan mengambil dadah pada Januari lepas.

Terence Naidu, 54, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 39B akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun dan selepas hukuman harus menjalani pengawasan tidak kurang dua tahun atau tidak lebih tiga tahun yang ditetapkan oleh mahkamah.

Dia didakwa telah mengambil dadah jenis ‘3,4 - methylenedioxymethamphetamine’, yang ditetapkan di Bahagian III dari Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952.

ADUN Pasir Berdamar itu dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah pada kira-kira jam 12.13 pagi, 14 Jan lepas.

Terdahulu, Pengarah Pendakwaan negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim yang mengendalikan pendakwaan, menawarkan jaminan sebanyak RM5,000.

Peguam Ramkarpal Singh dan RSN Rayer yang mewakili Terence Naidu memohon jaminan minimum kerana tertuduh telah memberikan kerjasama kepada polis sepanjang siasatan dijalankan.

Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Mei untuk sebutan semula kes.

Pada 14 Jan lepas, Polis Pulau Pinang telah menahan seorang ADUN dari Perak kerana positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai, di Butterworth. - Bernama