Agong zahir harapan bantuan beri kegembiraan kepada 166 keluarga asnaf

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar bantuan dan sumbangan yang dihulurkan kepada 166 keluarga asnaf di Kuantan, Pahang dapat memberikan kegembiraan serta keselesaan menjelang perayaan Aidilfitri.

Menurut perkongsian Istana Negara di laman Facebook rasmi, bantuan itu dihulurkan oleh Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara kepada keluarga yang terjejas akibat banjir di Pahang, awal tahun ini.

Dalam inisiatif itu, Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara bekerjasama dengan Yayasan Telekom Malaysia (Yayasan TM) bagi menggantikan 245 set pintu baharu untuk 100 keluarga asnaf di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Pandan dan 66 keluarga asnaf di Taman Inderapura, Kuantan.

"Seri Paduka amat prihatin terhadap nasib mangsa banjir dan amat bersimpati dengan ujian serta keperitan yang ditanggung mereka," demikian menurut catatan tersebut.

Selain itu, Seri Paduka turut menzahirkan hasrat agar Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara bekerjasama dengan pihak atau badan bukan kerajaan dalam membantu jentera kerajaan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara ditubuhkan atas cetusan idea Al-Sultan Abdullah bertujuan menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa yang telah hilang tempat berteduh dan mengalami kerugian besar akibat kemusnahan harta benda susulan banjir buruk.

Kerja-kerja penilaian dan penggantian pintu dimulakan pada 1 Mac lepas dan berakhir pada 9 April dengan penglibatan dan kerjasama pelbagai pihak seperti Kawasan Rukun Tetangga, para penghulu, agensi-agensi kerajaan dan pasukan sukarelawan Yayasan TM negeri iaitu TM ROVers Pahang. - Bernama