593 notis kesalahan merokok dikeluarkan di Negeri Sembilan

Sebanyak 593 notis mahkamah dikeluarkan kepada orang ramai di Negeri Sembilan atas pelbagai kesalahan merokok sejak 1 Januari hingga 2 April lepas. - Foto Bernama
Sebanyak 593 notis mahkamah dikeluarkan kepada orang ramai di Negeri Sembilan atas pelbagai kesalahan merokok sejak 1 Januari hingga 2 April lepas. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 593 notis mahkamah dikeluarkan kepada orang ramai di Negeri Sembilan atas pelbagai kesalahan merokok sejak 1 Januari hingga 2 April lepas membabitkan kompaun sebanyak RM163,600.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) itu dikeluarkan menerusi 131 operasi bersepadu ke atas 2,515 premis yang diperiksa di seluruh negeri ini.

"Jabatan kesihatan negeri sentiasa peka terhadap setiap aduan berkaitan kejadian merokok di premis makanan, pasar raya dan mana-mana tempat larangan merokok selain menjalankan operasi setiap hari. Setiap aduan tersebut disiasat dan segera diambil tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Yap Yew Weng (PH-Mambau) yang ingin tahu tindakan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah merokok di tempat awam pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Veerapan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah itu berkata, kapasiti keseluruhan slot untuk pesakit hemodialisis di negeri ini adalah mencukupi kerana terdapat 546 slot kosong di kemudahan hemodialisis swasta setakat ini.

Menurutnya, terdapat tujuh pusat hemodialisis awam di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang beroperasi di negeri ini dengan 127 kerusi hemodialisis, selain tiga pusat di hospital swasta (102 kerusi) dan 35 di pusat hemodialisis swasta (334 kerusi).

Beliau menjawab soalan Datuk Zaifulbahri Idris (BN-Chembong) yang mahu tahu jumlah hospital dan klinik kesihatan di Negeri Sembilan yang menyediakan rawatan dialisis dan sama ada kapasitinya mencukupi bagi menampung jumlah pesakit. - Bernama