RM9.5 juta kepada 150 koperasi terjejas Covid-19: Noh

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

KUALA NERUS - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM9.5 juta kepada 150 koperasi yang terjejas akibat Covid-19 tahun ini.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, bantuan itu disalurkan melalui program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (Transfer) bagi membantu merancakkan kembali aktiviti institusi berkenaan dalam pascaCovid-19.

Beliau berkata, di bawah program berkenaan, bantuan sehingga RM100,000 disediakan dalam bentuk geran untuk satu-satu koperasi kembali aktif melaksanakan pelbagai aktiviti bagi manfaat ahli.

"Program ini telah dilancarkan pada tahun lalu bersama tiga program pemulihan Covid-19 yang lain di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan diharap dapat membantu menggerakkan kembali koperasi di Malaysia.

"Negeri tertinggi yang terima bantuan ini ialah di Selangor dengan 19 koperasi, Perak (18 koperasi) dan Terengganu (16 koperasi)," katanya selepas melawat kilang pelet makanan ternakan KPFB Bersepadu Sdn Bhd di sini hari ini.

Kilang makanan tersebut merupakan milik penuh Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Berhad yang mula beroperasi pada Mac 2020.

Selain itu, Noh berkata, kementeriannnya juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.85 juta kepada 235 koperasi di seluruh negara bagi pelaksanaan program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) tahun ini.

"Untuk bantuan bencana pula seperti banjir dan sebagainya, kita telah agihkan sumbangan berjumlah RM746,000 kepada 37 koperasi yang terjejas di tujuh negeri tahun ini," katanya. - Bernama