'Rewang' masak lauk berbuka

Penduduk 'rewang' menyediakan masakan gerang asam tetel dan daging di Surau Taman Asean 2, Malim.
Penduduk 'rewang' menyediakan masakan gerang asam tetel dan daging di Surau Taman Asean 2, Malim.
A
A
A

MELAKA - Menyedari ramai penduduk terkesan akibat pandemik Covid-19, Persatuan Penduduk di Taman Asean di sini tidak ketinggalan meringankan beban golongan berkenaan dengan bergotong-royong menyediakan juadah berbuka.

Kebiasaannya setiap kali Ramadan, mereka akan memasak bubur lambuk sebelum diedarkan dari rumah ke rumah atau penduduk datang mengambilnya di Surau Taman Asean 2.

Setiausahanya, Mohd Zairi Mohd Yusof berkata, Ramadan kali ini mereka bersepakat memecah tradisi sejak 16 tahun lalu dengan mencipta kelainan menyediakan masakan gerang asam tetel dan daging berbanding bubur lambuk.

Menurutnya, dengan cara itu dapat mengelakkan berlakunya pembaziran makanan memandangkan banyak di tempat-tempat lain juga menyediakan bubur lambuk secara percuma kepada orang ramai.

Mohd Zairi (lima,kiri) menyampaikan bungkusan lauk kepada penduduk yang datang di Surau Taman Asean 2, Malim.
Mohd Zairi (lima,kiri) menyampaikan bungkusan lauk kepada penduduk yang datang di Surau Taman Asean 2, Malim.

"Walaupun pertama kali kita membuat kelainan, namun sambutan yang diterima begitu menggalakan dan penduduk memberi respon positif.

"Bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim jiran tetangga, namun apa yang penting meringankan beban penduduk yang terkesan kerana pandemik termasuk yang hilang pekerjaan," katanya ditemui di Taman Asean di sini, pada Isnin.

Tambahnya, sebanyak 20 kilogram daging digunakan bagi menyediakan masakan itu dan dibantu kira-kira 15 penduduk termasuk ahli jawatankuasa surau seawal jam 9 pagi.

Ujarnya, melalui maklum balas yang diterima aktiviti 'merewang' berkenaan akan diteruskan setiap minggu dengan menu berbeza bagi menggantikan bubur lambuk.

"Apa yang kita harap aktiviti meriah ini tidak hanya berlaku pada bulan Ramadan dan dapat diteruskan pada bulan akan datang agar hubungan penduduk berkekalan," katanya

Pada program itu sebanyak 110 bungkus masakan gerang asam tetel dan daging diagihkan kepada penduduk.