Jangan dabik dada kejayaan di Singapura

Mohd Manshahar
MANSHAHAR
Mohd Manshahar MANSHAHAR
A
A
A

PRESTASI cemerlang dilakar kem olahraga negara pada Kejohanan Trek dan Padang Singapura ke-82, bukan kayu pengukur tepat untuk meramalkan kejayaan mereka di Sukan SEA Hanoi, Vietnam bulan depan.

Biarpun berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya, ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil mengingatkan mereka agar tidak mendabik dada dengan kejayaan tersebut memandangkan dua kuasa besar olahraga di peringkat Asia Tenggara iaitu Thailand dan Vietnam tidak menghantar wakil mereka di Singapura.

“Kita tidak boleh tentukan kejayaan di Sukan SEA Hanoi berdasarkan pencapaian atlet dalam kejohanan di Singapura tempoh hari.

“Tidak banyak negara mengambil bahagian di Singapura...selain Malaysia yang menghantar 14 atlet, kejohanan itu turut menyaksikan penyertaan Filipina dan Indonesia,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Malaysia mengakhiri saingan di kejohanan itu dengan membawa pulang lapan emas, dua perak dan dua gangsa.

Bagaimanapun, berdasarkan prestasi di Singapura, Mohd Manshahar menjangkakan dua atlet lempar cakera lelaki dan wanita iaitu Muhammad Irfan Shamsuddin dan Queenie Ting Kung Ni serta atlet lompat jauh lelaki negara, Andre Anura Anuar berada pada landasan tepat meraih emas di Hanoi.

Muhammad Irfan menguasai acara lelaki dengan catatan 59.15 meter (m), jauh meninggalkan atlet Filipina, John Albert Mantua (49.57m) untuk pingat perak diikuti Eric Yee Chun Wai daripada National University Singapore yang menamatkan saingan dengan pingat gangsa (47.67m).

Queenie pula memastikan emas miliknya selepas mencatat 46.27m untuk menewaskan seorang lagi wakil negara, Choo Kang Ni (44.11m) yang meraih perak dan Melissa Yee Wai Teng dari Singapore Institute of Technology merekodkan 33.82m untuk pingat gangsa.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, catatan 7.60m sudah cukup bagi Andre Anura untuk muncul juara acara lompat jauh seterusnya mengecewakan Janry Ubas dari Filipina yang meraih perak (7.52m) dan gangsa pula dimenangi Tedd Toh daripada Wings Athletics Club (6.93m). - Bernama